
MUKAH: Anak kelahiran Sarikei, Mohammad Abdul Hakim Busrah, 20, bakal mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa dalam World Skills Competition (WSC) 2022 di Shanghai, China pada bulan Oktober nanti.
Abdul Hakim yang juga pelajar jurusan Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) di Politeknik Mukah (PMU) akan bertanding dalam kategori Teknologi Sesawang bersama-sama perserta lain dari beberapa negara luar.
Beliau berjaya ke pertandingan antarabangsa tersebut setelah mencapai markah tertinggi pada peringkat akhir Ujian Amali Calon Peserta Worldskills Competition 2022 di Shah Alam awal Februari lalu.

Pengarah PMU Dr. Zamzam Mohd Walid berkata, penglibatan pelajar dalam pertandingan terbabit pada awalnya merupakan antara komitmen yang menjadi simbolik inovasi kepada latihan kemahiran sebagai peneraju dalam Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.
“Kejayaan pelajar kita ini adalah hasil kerjasama antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta semua pihak dengan berpaksikan misi latihan kemahiran,” katanya berucap dalam Majlis Hitea #RoadToShanghai di PMU baru- baru ini.
Dr Zamzam turut berkongsikan rentetan daripada kejayaan tersebut, Abdul Hakim juga
bakal mengikuti latihan bersama Pakar Negara yang akan bermula pada awal Mac ini.
“Sekiranya menunjukkan prestasi yang baik dan berjaya melepasi ujian prestasi pada dua bulan akan datang, beliau akan diserap sebagai peserta negara tanpa syarat,” ujarnya.
Tambahnya, sepanjang minggu ini pihak PMU melalui Team PolySkills juga telah melaksanakan Kem Peningkatan dan Kekuatan Minda khas untuk Abdul Hakim.
“Usaha kita tidak terhenti di sini sahaja, pada minggu berikutnya pula beliau akan menyertai kem motivasi bersama peserta-peserta negara lain di Melaka,”jelasnya lagi.
Dalam majlis berkenaan, sebagai tanda semangat dan sokongan, PMU turut berkesempatan menyerahkan bendera kepada Abdul Hakim dan jurulatihnya Muhammad Thariq.