
KUCHING: Timbalan Pengarah Risikan atau Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia DCP Datuk Ruslan Khalid dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Mohd Azman berkuat kuasa 25 April ini dan akan memangku pangkat CP.
Mohd Azman menggantikan Datuk Aidi Ismail yang berpindah ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) bermula 21 Februari lalu.
Ruslan berkata pertukaran dan kenaikkan pangkat membabitkan seramai 121 Pegawai Kanan Polis yang berkuat kuasa mulai 25 April ini.
Pertukaran lain turut melibatkan Timbalan Ketua JPJKK Perak, Asisten Komisioner Wong Ing Fung dilantik menjadi Ketua JPJKK Sarawak dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
Manakala, Penolong Pengarah (Perancangan dan Pembangunan Dasar Strategik), Bahagian Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman Asisten Komisioner Dr Che Ghazali Che Awang dilantik sebagai Komander Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
Selain itu, pertukaran turut membabitkan Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang bertukar ke JSJN Sarawak menggantikan Asisten Komisioner Jasmirol Jamaluddin yang berpindah ke Kuala Lumpur sebagai Ketua JSJN.
Sementara, Timbalan Ketua Cawangan Khas Perak Asisten Komisioner Mustofa Norsalim juga berpindah ke Sarawak sebagai Timbalan Ketua Cawangan Khas Sarawak.
Selain itu, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Sarawak Superintendan Ismail Mahmood dilantik sebagai Timbalan Ketua JPJKK (Operasi) Sarawak dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.
Jawatan Ismail diisi oleh Ketua Polis Daerah Simunjan Deputi Superintendan John Nixon dan memangku pangkat Superintendan.
Dalam masa yang sama, pertukaran turut membabitkan Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Zuhaili yang dilantik Ketua Polis Daerah Sibu dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.
Manakala, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Miri baharu dan memangku pangkat Asisten Komisioner.
Alexson menggantikan Asisten Komisioner Hakemal Hawari yang bertukar ke Pahang sebagai Timbalan Komander Briged Tenggara, PGA Pahang.
Bagi Jawatan Ketua Siasatan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, ia diisi oleh Ketua Polis Daerah Sri Aman Deputi Superintendan Bingkok John dengan memangku pangkat Superintendan.
Deputi Superintendan Boniface Rajai dari Bahagian Latihan Bukit Aman akan mengisi jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Sri Aman.