Mohd Sadik diiktiraf ‘Hero Bomba’

KUCHING: Tindakan cepat dan berani Mohd Sadik Isyak memadam kebakaran sebuah rumah semalam, menjadikannya diiktiraf sebagai ‘Hero Bomba’ oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak.

Pengarah Bomba Sarawak Khirudin Drahman telah menyampaikan sijil ‘Hero Bomba’ kepada lelaki berusia 41 tahun itu di pejabatnya hari ini, dan turut disaksikan Timbalan Pengarah Bomba Sarawak, Tiong Ling Hii.

Dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah di Taman Matang Ria semalam, Mohd Sadik telah bertindak cepat dan berani apabila memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api debu kering miliknya sehingga api tersebut padam sepenuhnya.

Beliau yang bertugas sebagai juruteknik di Electra House, di sini memberitahu telah menerima latihan tatacara penggunaan alat pemadam api daripada pihak bomba.

“Lazimnya, apabila berlakunya kebakaran kebanyakan orang awam akan mengambil gambar dan video menggunakan telefon bimbit masing-masing untuk dimuat turun di media sosial.

“Ini berbeza dengan tindakan Mohd Sadik yang mengambil alat pemadam api untuk memadam kebakaran tersebut.

“Tindakan pantas dan bertanggungjawab beliau telah berjaya menyelamatkan bukan sahaja rumah tersebut, tetapi kediaman lain di kejiranan itu,” kata Khirudin dalam kenyataan, hari ini.

 

Suara Sarawak