LAWAS: Majlis Daerah Lawas mempelawa peniaga tempatan yang berminat berniaga di tapak niaga bazar Ramadan Taman Awam Lawas untuk mengisi borang permohonan bermula 6 Mac ini.
Setiausahanya Zulkipli Sahari dalam satu kenyataan berkata, tarikh tutup permohonan adalah pada 14 Mac.
“Mereka yang berminat, boleh mendapatkan borang permohonan di kaunter bahagian penguat kuasa, Majlis Daerah Lawas.
“Setiap permohonan mestilah disertakan salinan kad pengenalan, laporan pemeriksaan kesihatan, slip suntikan anti typhoid dan salinan sijil pengendalian makanan pemohon serta pembantu.
“Selain itu, lot disediakan adalah terhad dan pihak kami hanya menyediakan tapak lot sahaja,” katanya.
Tambahnya, hanya borang lengkap akan diproses dan permohonan yang lulus dikenakan bayaran permit bazar sebanyak RM50.