ARTIKEL

MoU Bank Rakyat, PT MNC Kapital Indonesia bantu pacu ekonomi dan perbankan serantau – Ewon

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Usaha kerjasama Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) dengan PT MNC Kapital Indonesia menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di Jakarta pada Sabtu, amat signifikan dalam membantu memacu pembangunan ekonomi negara dan perbankan serantau.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata MoU tersebut membabitkan kemudahan pembiayaan patuh Syariah serta produk dan perkhidmatan perbankan inklusif untuk kalangan Pekerja Migran Indonesia (PMI) yang akan bekerja di Malaysia.

Pada masa sama, beliau berkata kerjasama terbabit dapat merancakkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Indonesia dan mengeratkan hubungan baik yang sedia terjalin.

“Kolaboratif ini secara tidak langsung mampu memberi impak positif dalam memastikan kemasukan PMI secara sah ke Malaysia mengikut undang-undang dua negara ini dan keterjaminan keselamatan serta perlindungan hak-hak PMI dari segi perkhidmatan perbankan sewaktu di Malaysia.

“Selain itu, penambahan bilangan PMI khususnya dalam sektor pembinaan juga dapat membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya berucap pada majlis itu dan teks ucapan beliau dikongsi dalam satu kenyataan, semalam.

Bank Rakyat adalah di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Pemeteraian MoU itu dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Datuk Dr Mohammad Hanis Osman dan Direktur Utama PT MNC Kapital Indonesia Yudi Hamka dan disaksikan oleh Ewon dan Menteri Koperasi dan Usaha Kecil dan Menengah Republik Indonesia Teten Masduki.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan MNC Hary Tanoesoedibjo.

Ewon juga menyifatkan kerjasama strategik Malaysia-Indonesia sebagai bertepatan dengan agenda di peringkat Asean menerusi konsep Malaysia MADANI yang digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini khususnya dalam menjalinkan pengaturan strategik memudah cara pergerakan modal insan dan menyokong pengembangan syarikat Malaysia untuk menembusi pasaran serantau.

Langkah itu juga, kata Ewon, selari dengan saranan perdana menteri ketika menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-43 baru-baru ini agar integrasi ekonomi antara negara serantau diperhebatkan ke arah penghasilan pelan ekonomi yang lebih cergas, inklusif, mampan dan berdaya tahan.

“Perjanjian persefahaman strategik yang lebih hebat perlu dilaksanakan bagi mengembangkan integrasi pasaran dan memudah cara pergerakan barangan, kapital, tenaga kerja berkemahiran tinggi serta perkongsian teknologi dengan negara Asean.

“Saya lihat ia juga sejajar dengan kerjasama MoU yang dimeterai antara Bank Rakyat dan MNC Kapital ini,” katanya. – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Swift Haulage sasar sumbangan pergudangan naik 25 peratus

KLANG: Swift Haulage Bhd menyasarkan sumbangan daripada segmen perkhidmatan pergudangan dan depoh kontena naik 25 peratus berbanding 15 peratus pada masa ini. Ketika ini perkhidmatan pengangkutan kontena dan

Eksport orkid sumbang RM4 bilion setahun

HASIL eksport orkid Malaysia mampu menyumbang RM4 bilion kepada industri florikultur di Malaysia kerana mendapat permintaan tinggi dari negara luar. Ketua Unit Industri Florikultur (Bahagian

BERITA TERBARU

Lenyau mentor ti bepenau

KUCHING: Penau Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud enggau bisi runding strategik mujur mai pemansang moden ngagai Sarawak. Menteri Industri Pemakai, Komoditi enggau Pemansang Wilayah

Kebakaran belukar di Lawas terkawal

LAWAS: Kebakaran belukar dilaporkan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah baharu di Jalan Bating di sini pada pukul 9 pagi tadi. Seramai 12 anggota dari