SIBU: Lembaga Lada Malaysia (MPB) Cawangan Sibu telah mengeksport sejumlah 928.67 metrik tan lada hitam dan lada putih pada tahun 2022, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Fadillah Yusof.
Menurutnya, Sibu yang merupakan antara pengeluar terbesar lada di Sarawak memiliki kawasan tanaman lada seluas 494.83 hektar dengan jumlah pekebun kecil lada seramai 3,402 orang.
“Sementara itu, jumlah pekebun kecil lada Malaysia adalah seramai 38,134 orang dengan keluasan 8,013 hektar.

“Daripada jumlah tersebut, Sarawak menguasai 98 peratus dengan memiliki 7,866 hektar kawasan tanaman lada dengan jumlah pekebun kecil seramai 37,461 orang,” katanya.
Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan rasmi ke MPB Cawangan Sibu, di Sibu, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya cawangan kedua terbesar di Sarawak selepas Kuching yang ditubuhkan pada 1975 itu juga menempatkan loji pemprosesan kering dan basah, loji rawatan haba bagi aktiviti pemprosesan lada serta makmal analisa bagi pensampelan lada.
Tambahnya, cawangan tersebut turut menyumbang kepada pembangunan dan kawal selia pasaran tanaman lada di kawasan seliaannya yang meliputi kawasan Sibu, Mukah dan Kapit (tidak termasuk kawasan Belaga yang dikawal selia oleh Pejabat MPB Sungai Asap).
Dalam pada itu katanya, pejabat MPB Sibu juga giat melaksanakan Program Pembangunan Penanaman Lada dengan mengagihkan input pertanian, perkakasan ladang dan bantuan infrastruktur ladang.
Untuk rekod, MPB memiliki sembilan buah pejabat cawangan di seluruh negeri ini yang diselia oleh Pejabat Wilayah Sarawak iaitu di Serian, Sri Aman, Betong, Bintangor, Sarikei, Bintulu, Miri, Belaga dan Sibu serta dua (2) buah pejabat wilayah masing – masing di Semenanjung Malaysia (Johor) dan juga Sabah (Kota Kinabalu).