MPKK cabul hak negeri Sarawak

BINTULU: Kami membantah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan Persatuan(MPKKP) ekoran ia dilihat melanggar Ordinan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat 2004 sedia ada, kata Pemanca Limin Anak Anai.

Mewakili empat persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan yang terdiri daripada Persatuan Ketua Kaum Daerah Sebauh, Persatuan Penduduk Binyo, Selezu dan Genaan, Gerempong Rumah Panjai Sungai Sebauh dan Jawatankuasa Bertindak Jelalong-Tubau, beliau berkata penduduk rumah panjang dan kampung di kawasan Daerah Sebauh tidak memerlukan MPKKP kerana Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)  sedia ada masih releven dalam menguruskan hal ehwal berkaitan kampung dan rumah panjang masing-masing.

Malah, katanya lagi, sistem JKKK sedia ada juga diurus  dan dipantau dengan berkesan oleh Pejabat Daerah.

Jadi pada kami “Perlaksanaan MPKK sangat tidak perlu dan ianya hanya dilihat sebagai pencabulan kepada hak Negeri Sarawak terutamanya dalam pengurusan rumah panjang atau kampung.

Perlantikan Ketua Kaum merangkumi Tuai Rumah , Ketua Kampung atau Kapitan dibuat melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada yang telah ditetapkan Kerajaan Negeri,tambahnya lagi.

Kami menolak  MPKK kerana ia dilihat  berunsur politik selain boleh mengganggu – gugat keamanan dan perpaduan penduduk rumah panjang dan kampung sekiranya terdapat dua ketua yang berbeza ditubuhkan dalam sebuah rumah panjang.

Perlaksanaan MPKK juga juga akan mengakibatkan masyarakat rumah panjang atau kampung berpecah belah dan keadaan menjadi lebih kucar kacir kerana terdapat kelompok yang menyokong parti pembangkang atau yang tidak terpilih menjadi ketua kaum sudah tentu akan berminat menubuhkan MPKK dirumah panjang atau di kampung masing-masing, tambah Limin lagi.

Terdahulu, lebih 400 Ketua masyarakat dan Ketua kaum termasuk ahli JKKK di Daerah Sebauh menghadiri taklimat ringkas berkaitan peranan Ketua masyarakat dan perbandingan antara JKKK dan MPKKP di Balai Raya Sebauh.

Program anjuran Persatuan Ketua Kaum Daerah Sebauh ini dikendalikan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Petrus Igat Mathias.