MPKS disaran sediakan tapak niaga selesa

KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) bersedia untuk melaksanakan cadangan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing dengan menyediakan tempat perniagaan yang selesa untuk para peniaga di persimpangan Jalan Kampung Tambey, di sini.

Pengerusinya Datuk Peter Minos berkata, bagaimanapun ia dapat dilaksanakan sekiranya MPKS mendapat peruntukan daripada kerajaan.

“Justeru, MPKS akan membina projek seperti yang telah dicadangkan oleh beliau (Masing) sekiranya kerajaan juga dapat memberikan kelulusan untuk tanah di seberang jalan tersebut.

“Sebenarnya, sudah ada projek yang telah kami fikir dan bincangkan tetapi terpaksa ditangguhkan kerana masalah teknikal seperti isu tanah tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, ketika berkunjung ke kawasan Samarahan pada 18 April lalu Masing mengatakan beliau terkejut melihat persimpangan jalan pinggir jalan selepas Jambatan Samarahan (persimpangan Kampung Tambey) di penuhi dengan gerai penjaja yang menjual hasil tani dan laut.

Menurutnya, perkara tersebut juga memberikan kesan kepada aliran trafik di kawasan tersebut dan mencadangkan agar pihak MPKS dapat menyediakan kawasan yang luas dilengkapi dengan kemudahan air dan tandas untuk kegunaan para peniaga berkenaan.

Sehubungan itu, Minos memaklumkan MPKS akan meninjau dan mengkaji semula rancangan untuk projek yang dinyatakan itu sekali lagi.

Suara Sarawak