KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) bakal menyediakan perkhidmatan kontena ‘Roll On Roll Off’ (RoRo) sempena sambutan Hari Gawai yang akan datang.
MPP dalam kenyataan hari ini berkata, perkhidmatan tersebut akan disediakan bermula 29 Mei sehingga 6 Jun depan.
“Justeru, MPP mengingatkan orang ramai khususnya penduduk yang menyambut perayaan Hari Gawai untuk memelihara kebersihan kawasan kejiranan.
“Sehubungan dengan itu, sisa-sisa besar hendaklah dibuang ke dalam kontena RoRo yang telah disediakan oleh MPP,” katanya.
Kontena tersebut akan diletakkan di sembilan lokasi berbeza seperti Taman Malihah (belakang H&L Malihah); RPR Batu Kawa (tempat parkir rumah kedai, Lrg 28 RPR Batu Kawa); Taman Matang Jaya (bersebelahan Matang Mall); Kampung/Taman Landeh (tempat parkir pusat Komersial Landeh) dan Desa Wira / Kuching City Mall (tempat parkir Shoplot Lrg Kuching City Mall 1A).
Empat lagi lokasi adalah Taman Flora Indah (Bin Centre); Taman Sri Cahaya; Tondong Batu Kawa; tempat parkir; pusat komersial/ rumah kedai (bersebelahan JPJ Batu 11) dan Flat Taman Harmoni Matang.