MPS tutup Pasar Tamu Sibu berkuat kuasa esok

SIBU: Susulan bahagian ini bertukar zon merah, Majlis Perbandaran Sibu (MPS) telah mengambil inisiatif untuk menutup Pasar Tamu Mingguan Sibu di Jalan Indah berkuat kuasa esok (Ahad).
Perkara ini didedahkan oleh pengerusinya Kaunselor Clarence Ting Ing Horh ketika dihubungi sebentar tadi.
“Berikutan kewujudan Kluster Pasai yang baharu sahaja diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Bahagian Sibu Charles Siaw, pihak kami mengambil keputusan untuk menutup pasar tersebut berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ataupun peraturan di kawasan zon merah.
“MPS ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai penutupan tersebut sehingga diberitahu kelak.
“Bagaimanapun kita masih menunggu apa-apa perkembangan mengenai Sibu daripada JPBNS yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media hariannya mengenai perkembangan COVID-19 di Kuching petang nanti.
“Dari situ, kita mungkin tahu apakah tindakan selanjutnya bagi JPBN Bahagian Sibu,” tegas beliau.
Sementara itu, Ting mengingatkan agar warga Sibu terus kekal selamat dan mematuhi SOP.
“Terus kekal berada di rumah dan jangan keluar jika tiada urusan penting.
“Jika keluar sila gunakan pelitup muka dan mematuhi SOP,” ujar beliau.
Ting mengajak warga Sibu agar sama-sama berdoa agar Sibu dapat dijauhi dari wabak ini dan berharap agar barisan hadapan tabah dalam menjaga pandemik ini.
Pasar Tamu Mingguan Sibu mula beroperasi di Jalan Indah, Teku pada 1 Ogos tahun lalu setelah dipindahkan dari Jalan Mahsuri pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.
Seramai 115 para penjaja dan peniaga berniaga di pasar tersebut.