Muat turun aplikasi CovidTrace

KUCHING: Masyarakat tempatan digesa untuk segera memuat turun aplikasi CovidTrace di telefon pintar masing-masing bagi memudahkan pengesanan kes positif Covid-19 di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, penggunaan aplikasi itu amat penting kerana ia dapat memudahkan urusan pengesanan kes positif Covid-19 dan kontak yang terlibat.

“Sarawak Information System Sdn. Bhd. (Sains) dengan kerjasama Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) telah mencipta aplikasi CovidTrace sebagai tanda menyokong usaha kerajaan dalam mengekang penularan wabak Covid19.

“Aplikasi ini dapat dimuat turun dari GooglePlay dan AppleStore yang terdapat dalam telefon pintar masing-masing,” katanya pada sidang media di Bangunan Dun Lama Petra Jaya, petang semalam.

Menurutnya, aplikasi ini secara automatik dapat menyimpan sejarah perjumpaan dan perjalanan pengguna di dalam telefon pintar yang dimiliki. Katanya, dengan penggunaan aplikasi ini, ia memudahkan petugas kesihatan untuk mengesan kontak yang terlibat dalam kes-kes yang berkaitan.

Selain itu, Kui Hian turut menegaskan bahawa aplikasi ini selamat digunakan dan ia tidak mendedahkan identiti pengguna dalam sistem yang disediakan.

Beliau berharap agar seluruh masyarakat dapat memainkan peranan masing-masing untuk melancarkan usaha kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19 ini.