KUCHING: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) mengenal pasti mekanisme pendaftaran inovatif bagi memudahkan pelesenan perniagaan di Sarawak.
Untuk itu, MPC dan STIU bakal melaksanakan Inisiatif Uji Kaji Peraturan (RE) dan Penilaian Impak Peraturan (RIA) bagi pendaftaran pelesenan perniagaan di negeri ini.
Pengarah MPC Sarawak, Dr Mazlina Shafi’i, berkata inisiatif uji kaji peraturan itu akan mengkaji semula pembaharuan peraturan pendaftaran perniagaan dari segi kos, proses dan masa bagi memudahkan urusan menjalankan perniagaan.
“Uji kaji peraturan ini melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kuching, Sri Aman, Sibu dan Miri serta agensi mengeluarkan lesen perniagaan di Sarawak iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pejabat Daerah katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Mazlina, pembangunan peraturan pendaftaran perniagaan melalui proses RIA juga dilaksanakan selaras dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dalam konteks memperkukuh pembangunan sosioekonomi Sabah dan Sarawak.
“Inisiatif ini bagi menghasilkan peraturan berkualiti, mengurangkan kos pematuhan perniagaan serta mengurangkan risiko kegagalan dalam mencapai objektif peraturan.
“Dengan usaha ini, diharapkan dapat merancakkan kembali aktiviti ekonomi dan menambah baik sektor perkhidmatan terutamanya pascapandemik COVID-19,” jelasnya.
Di samping itu, beliau turut menyeru agar kerjasama berterusan antara agensi dapat diteruskan dalam meningkatkan penyampaian sektor perkhidmatan kepada rakyat yang menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan daya saing.
Pengarah STIU, Superi Awang Said berkata pihaknya dengan kerjasama MPC, Jabatan Premier Sarawak serta agensi terus komited untuk memudah cara pengendalian perniagaan negeri ini.
“Saya yakin peraturan pendaftaran perniagaan yang dikaji semula dan diperbaharui ini dapat memudahkan urusan menjalankan perniagaan serta menarik lebih banyak pelaburan dan meningkatkan pertumbuhan perniagaan di Sarawak dengan lebih efektif,” ujarnya.