ARTIKEL

Muhammad Azeem Fahmi | Bernama

Muhammad Azeem sasar kilauan pingat lebih baik di Jepun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi bertekad untuk “menukar warna” pingat acara 100 meter (m) pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, selepas membawa pulang gangsa pada edisi terdahulu di Hangzhou.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan masa 10.09 saat (s) itu berkata sasaran utamanya ialah menaiki podium dan memperbaiki pencapaian pada penampilan keduanya di temasya sukan berprestij Asia itu.

“Untuk Sukan Asia, pada edisi sebelum ini saya berjaya memenangi pingat gangsa. Sudah tentu untuk tahun ini sasarannya sama, iaitu berada di podium tetapi insya-Allah, saya akan cuba yang terbaik untuk mengubah warna pingat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi lawatan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dan Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Mohd Sumali Reduan ke venue latihan sukan, bagi persiapan ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini, hari ini.

Muhammad Azeem berkata persiapannya menuju Aichi-Nagoya 2026 berjalan lancar dan keadaan fizikalnya kini berada pada tahap baik, menjelang penyertaan pada Kejohanan Olahraga Grand Prix Oman di Muscat, Sabtu ini.

Juara 100 meter Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun Asia 2026 itu berharap, mampu menghasilkan catatan positif di Oman bagi meningkatkan keyakinannya sebelum beraksi di Sukan Asia, yang berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt.

Mengulas cabaran di Jepun, atlet berusia 22 tahun itu menjangkakan saingan terbuka, memandangkan beberapa pencabar utama Asia mencatat masa hampir setara musim ini.

Beliau menamakan bintang Thailand Puripol Boonson, pelari Oman Ali Anwar Ali Al-Balushi dan bekas juara Asia dari Jepun Yoshihide Kiryu, antara pencabar yang perlu diberi perhatian.

“Catatan terbaik musim ini dalam kalangan kami juga berada dalam lingkungan masa yang lebih kurang.

Jadi saya agak yakin menuju Sukan Asia dan insya-Allah, saya berharap semuanya menjadi pada masa dan tempat yang tepat untuk saya kembali membanggakan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Program Kejurulatihan Olahraga Malaysia (MA) Mohd Manshahar Abd Jalil percaya Muhammad Azeem mempunyai kemampuan untuk mencipta catatan di bawah 10s di Jepun, sekiranya berada pada prestasi terbaik ketika pertandingan.

“Dia sendiri yakin boleh melakukannya, jadi sebagai jurulatih saya juga perlu yakin bahawa dia mampu berada pada tahap itu. Kalau dia dapat catatan bawah 10s, ia satu bonus besar bukan sahaja untuk Azeem tetapi juga negara.

“Kita yakin dia boleh buat dan ia bergantung kepada keadaan ketika pertandingan, apabila dia berada dalam prestasi terbaik,” katanya.

Sebagai rekod, catatan terbaik Muhammad Azeem musim ini ialah 10.09s yang dilakukan pada Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Kentucky, Amerika Syarikat (AS), Mei lepas. — Bernama

BERITA LAIN

Satu Gol Ranap Impian KCFC

KUCHING: Hanya satu gol memisahkan Kuching City FC daripada memburu kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 apabila skuad The Cats terpaksa berputih

BERITA TERBARU