Muhyiddin, abah yang prihatin

ITULAH dinamakan rezeki. Tanpa diduga Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia. Tidak semena-mena Muhyiddin ‘menyingkirkan’ dua nama besar politik Malaysia – Perdana Menteri yang meletak jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri dipecat – Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas 100 hari menjadi ‘bapa’ jutaan rakyat Malaysia, ada yang berani mengangkat Muhyiddin sebagai bapa kebajikan.

Hadirnya Muhyiddin dianggap sebagai rahmat dan tepat pada masanya ketika negara sedang diserang Covid-19 – musuh yang tidak dapat dilihat melalui mata kasar. Serangannya secara senyap dan belum ada senjata untuk memusnahkannya, vaksin untuk menewaskan musuh ini.

Ramai yang terjejas sejak lebih 100 hari lalu. Rakyat telah diperintahkan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai. Maka sejarah baharu dicatat oleh Muhyiddin – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tindakan tidak popular tetapi ia merupakan benteng ampuh memastikan Covid-19 tidak terus menyerang.

Paling utama, ia strategi untuk memutuskan rantaian penularan virus itu di peringkat tempatan – rakyat. Di sesetengah kawasan pula telah dilaksanakan PKP Diperketatkan yang ibarat perintah berkurung – perjalanan keluar masuk disekat. Pun demikian, bantuan makanan tetap diberikan.

Sekali lagi rakyat rasa terbeban. Ketika PKP sudah hampir ditamatkan, Muhyiddin muncul lagi ibarat bapa dengan mengeluarkan pelbagai nasihat. Kemudian dengan meminta maaf beliau mengumumkan pula PKP diganti dengan PKP Bersyarat.

Dengan itu, rakyat sudah ada sedikit kebebasan bersyarat. Kebetulan pula ketika itu negara ada sambutan Aidilfitri, Hari Gawai Dayak dan Pesta Kaamatan. Walaupun sambutan hanya dihadkan sehari, namun rakyat masih lagi berpeluang mengunjungi rumah keluarga terdekat di dalam negeri yang sama, dengan syarat mematuhi garis panduan ditetapkan.

Sedangkan Muhyiddin ketika itu tidak boleh keluar rumah. Beliau dikuarantin wajib selama 14 hari disebabkan mempunyai kontak rapat dengan salah seorang pegawai yang disahkan positif Covid-19 ketika mesyuarat.

Disebabkan ramai terjejas akibat PKP ekoran Covid-19, Muhyiddin muncul di layar tv membawa khabar gembira. Pakej Prihatin adalah bantuan yang diberikan kepada semua yang layak. Hampir setiap orang menerima bantuan tersebut.

Bersyukurnya rakyat hingga sanggup berbaris panjang di bank untuk mengeluarkan wang. Malah, ada yang seawal jam 5 pagi beratur. Tidak cukup dengan itu, bantuan makanan asas turut dihantar ke setiap rumah yang layak di seluruh negara.

Baru-baru ini Muhyiddin muncul lagi di tv. Beliau mengumumkan pakej PENJANA ke arah merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara. Dan, kemunculan Muhyiddn di tv pada jam 3 petang, Ahad lepas memang ditunggu-tunggu. Kali ini beliau mengumumkan PKP Bersyarat digantikan dengan PKP Pemulihan bermula 10 Jun hingga 31 Ogos depan.

Berita baik apabila sudah ada kebebasan untuk rakyat, tetapi masih perlu akur dengan garis panduan ditetapkan. Itulah Muhyiddin.

Walaupun pentadbirannya diancam Covid-19 dan musuh politik, Muhyiddin tetap tenang. Bercakap seperti bapa, Muhyiddin tidak menyentuh pun tentang politik. Sebab baginya yang penting ialah rakyat. Mesti ada makanan di atas meja. Sebab itu, Muhyiddin ialah bapa atau abah yang prihatin.