KUCHING: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan telah didesak oleh pihak tertentu supaya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.
Bagaimanapun, beliau bertegas untuk tidak melayan tuntutan tersebut, menyebabkan pihak-pihak terbabit kurang senang sehingga sengaja mencetuskan kemelut politik.
“Saya tahu bahawa mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka.
“Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam perutusan khas bagi menjelaskan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional dan keabsahannya sebagai Perdana Menteri, hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan tidak akan mengorbankan prinsip dan membelakangi sumpah jawatan untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan.
“Saya telah dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan,” katanya.