Mukah kaya hasil laut segar

MUKAH: Sebut sahaja Mukah, pasti kita akan teringatkan umai dan sagu.

Ia merupakan makanan tradisi kaum Melanau di sini sejak turun-temurun, dan kekal diminati hingga kini.

Yang pasti, Mukah kaya dengan hasil laut segar, yang turut menggamit tumpuan penduduk di Bahagian Sibu, Bintulu, mahupun Miri.

Sekitar penghujung Februari hingga Jun merupakan musim ‘menuai’ hasil laut.

Namun hasil laut akan berganda-ganda menjelang Mac hingga Mei.

“Biasanya hasil tangkapan kami begitu banyak pada Mac atau April.

Seperti biasa, jika banyak tangkapan, maka harganya akan menurun daripada kebiasaan,” ujar salah seorang nelayan di sini.

Sekarang ini misalnya, merupakan musim udang merah, atau lebih dikenali sebagai ‘payak’ dalam kalangan penduduk tempatan.

Kebiasaannya, payak segar ini amat enak direbus begitu sahaja, atau direbus bersama serai dan dimakan dengan cecah kicap yang diadun bersama perahan limau kesturi dan cili.

Ia juga enak jika dibuat asin, dicampur garam dan dibiarkan beberapa hari.

Namun yang pasti, udang merah amat sesuai untuk dijadikan ‘cucur udang’ yang amat popular di Sarawak.

Begitu juga dengan ‘bubok’ atau udang halus, yang dikenali sebagai geragau oleh penduduk di Semenanjung.

Ia biasanya bermusim, dan merupakan bahan utama untuk membuat belacan dan cencaluk.

Malah ia juga enak dibuat cucur. Selain udang merah dan bubok, pelbagai jenis ikan turut ‘menghiasi’ meja jualan di pasar basah, yang terletak di tebing Sungai Mukah.

Sebut sahaja jenis ikan, semuanya ada… tenggiri, bawal, kembung, gelama, jamah, tuna, tongkol, pirang, terubok dan pari dan beberapa jenis lagi.

Bagi penggemar ikan segar, ikan di Mukah dikatakan lain daripada yang lain.

“Ikan di Mukah mempunyai rasa yang lebih enak, berbanding ikan di tempat lain di Sarawak,” kata salah seorang warga Mukah yang tinggal di Kuching.

“Walaupun harganya agak mahal,… namun kualitinya tetap terjaga, segar dan agak manis.

“Yang pasti, ikan di Mukah mempunyai kelainan, dan lebih enak,” jelasnya.

Biasanya, mereka yang ‘gilakan’ makanan laut, harga bukanlah halangan.

Apa yang lebih penting ialah kualiti, yakni kesegaran yang terjamin.

Bagi penduduk tempatan di sini, musim ikan banyak merupakan masa yang amat sesuai untuk berkumpul bersama-sama sanak saudara atau rakan-rakan pada hujung minggu sambil menikmati ikan segar yang dipanggang, dibuat umai, masak kunyit, masak kari atau sebagainya.

Kebiasaannya musim ikan banyak dikaitkan dengan Pesta Kaul yang diadakan setiap April, tanda kesyukuran atas limpahan rezeki dari laut.

Namun tahun lalu, Pesta Kaul Mukah dibatalkan ekoran pandemik Covid-19, dan tahun ini, ia turut dijangka dibatalkan kerana keadaan wabak tersebut di negeri ini masih pada tahap berbahaya.

Yang pasti, Mukah merupakan destinasi tumpuan penggemar hasil laut segar.

Suara Sarawak