KUCHING: Regu handalan Mukah Majors ‘A’ (Mypham 25) mencipta sejarah tersendiri apabila muncul johan dalam saingan juara antara juara Liga Sepak Takraw Kenyalang (KSL) 2021.
Wakil dari Zon Mukah itu menumpaskan Kuching Night A (Sanjung Etika) dengan kemenangan 2-0 (21-16, 21-14) pada aksi final yang berlangsung sengit di Gelanggang Pelbagai Guna Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Petra Jaya petang tadi.
Kejayaan itu membolehkan Mukah Majors A yang diperkuatkan pemain berpengalaman seperti Lucas Nyaing (Tekong), Azman Ma’ajiuli (Apit Kanan) dan Mohd. Shahrudin Murad (Apit Kiri) membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan pingat.
Sementara itu, hadiah wang tunai RM2,000, piala serta pingat diterima regu Kuching Night A (Sanjung Etika) selaku naib juara.
Lebih manis mengiringi kejayaan regu Mukah Majors A (Mypham 25) apabila kesemua tiga pemain mereka menerima wang tunai sebaik diumum sebagai penerima Anugerah Pemain Terbaik (Apit Kanan/Tekong/Apit Kiri).
Sementara itu, regu Kuching Night B (Mypham 25) dan Sibu Titan B (Lubok Labang) yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing akan menerima wang tunai RM1,000, piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Dalam pada itu, empat regu yang tersingkir di peringkat suku akhir Miri Sea Horse A, Miri Sea Horse B, Sri Aman Gators A dan Sibu Titan A turut menerima wang tunai RM500.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Sri Fadillah Yusof.
Hadir sama Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Dato Ismail Abang Saufi.