Mula hadapi masalah tunggakan pengurusan mayat

KUALA LUMPUR: Kadar kematian akibat Covid-19 yang tinggi di Malaysia akhir-akhir ini bukan hanya meruntun jiwa banyak pihak, tetapi turut menyebabkan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) berdepan situasi getir apabila mengalami masalah tunggakan dalam pengurusan mayat akibat wabak itu dan kes kematian bukan Covid-19.

Berbeza dengan pengurusan jenazah bukan Covid-19, pengurusan kes kematian Covid-19 perlu dilaksanakan dengan teliti oleh pasukan petugas barisan hadapan dan disegerakan untuk dikebumikan bagi yang beragama Islam atau dibakar bagi bukan Islam.

Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Salmah Arshad berkata, peti simpanan mayat sedia ada di IPFN kini tidak mencukupi dan mangsa kematian kini diletakkan di dalam kontena yang boleh memuatkan antara 12 hingga 20 mayat bagi kontena bersaiz enam meter (20 kaki) sementara menunggu giliran untuk diuruskan.

“IPFN ada 36 peti simpanan mayat, tapi kami memantau atau mempunyai tempat simpanan lain contohnya 10 peti di Hospital Tunku Azizah, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan ada empat, dua di Institut Kanser Negara. Jumlahnya 52 peti simpanan mayat dan kita ada back-up kontena untuk menyimpan mayat.

“Bagi mayat yang dibakar, ia bergantung kepada krematorium. Untuk di Lembah Klang ada satu sahaja lokasi iaitu yang diuruskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Satu oven hanya untuk satu mayat. DBKL juga memberi khidmat pembakaran mayat bukan Covid-19 jadi terpaksa menunggu giliran,” katanya kepada Bernama.

Menurut Dr Salmah, bagi mayat bukan Islam, waris boleh memilih sama ada mahu dikebumi atau dibakar dan proses pembakaran setiap mayat memakan masa dua hingga tiga jam berbanding kes bukan Covid-19 iaitu 45 minit hingga sejam.

Doktor pakar berusia 41 tahun yang sudah 13 tahun berkhidmat dalam bidang forensik itu berkata, peningkatan jumlah kematian di rumah atau brought-in-dead (BID) melibatkan wabak berkenaan semakin merunsingkan.

Beliau berkata, ketika gelombang pertama pandemik itu, kematian Covid-19 di luar wad hanya satu atau dua kes sahaja sebulan berbanding kini yang mencecah tiga atau empat kes seumpamanya dalam sehari.

“Berbanding tahun lalu, kita jarang menerima kes (mati) di rumah, (sebaliknya) kita dapat kes di hospital. Maksudnya pesakit dimasukkan di wad, dirawat dan mati di hospital. Yang merunsingkan sekarang ialah kematian di luar hospital, yang tak sempat dirawat. Simptomnya terlalu cepat dan ini menyedihkan.

“Sememangnya terdapat perubahan…dulu memang kita jangka kematian melibatkan pesakit yang berusia dan ada penyakit seperti jantung, buah pinggang dan obesiti. Itu faktor yang menyumbang kepada risiko kematian pada tahun lalu iaitu pada gelombang pertama.

“Gelombang ketiga kita tak dapat jangka sebab tak mengira usia, ada yang muda dan berusia. Paling muda yang kita terima meninggal di rumah adalah umur 20-an dan tiada penyakit. Kini semua kena berhati-hati dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana semua boleh terdedah serta mati kerana Covid-19,” katanya yang menasihati rakyat agar berjaga-jaga meskipun dengan jiran sebelah.

Beliau tidak menolak kemungkinan mutasi pada varian virus itu menyumbang kepada perubahan kategori mangsa yang diserang termasuk golongan muda yang tiada sejarah masalah kesihatan.

Mengenai proses bedah siasat membabitkan kes BID Covid-19 atau disyaki Covid-19, Dr Salmah yang mula berkhidmat di HKL sejak awal tahun lalu berkata, kaedah ‘CT (computed tomography) scanning’ digunakan bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada petugas.

Kaedah itu bagi mengesan keadaan paru-paru dan organ lain si mati seperti jangkitan kuman paru-paru atau pneumonia tanpa perlu membedah mayat seperti prosedur biasa.

“Kami buat external sahaja. Post-mortem CT scan untuk kita tengok keadaan paru-paru atau organ lain. Adakah paru-paru ini menunjukkan jangkitan kuman teruk atau pneumonia disebabkan Covid-19? Jadi kita boleh letakkan sebab kematian sebagai ‘Covid pneumonia‘ atau ‘pneumonia due to Covid’,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Perubatan IPFN HKL, Hisham Mohd Nordin menjelaskan proses pembakaran mayat Covid-19 bertambah sekali ganda daripada kebiasaan kerana ia dibakar bersama dua lapisan beg mayat yang diperbuat daripada plastik tebal yang berketumpatan tinggi.

Suara Sarawak