DISENANGI dan dihormati murid-murid merupakan sesuatu yang cukup membanggakan bagi seorang guru.
Malah ia merupakan satu nikmat jika bekas muridnya masih mengingati dan menghormatinya sehingga kini.
Demikian pengakuan pesara guru yang cukup dikenali penduduk di Mukah yang kini memikul tugas sebagai penghulu.
Penghulu Kampung Tellian Laut, Besiri Keri, 71, percaya sebagai seorang guru, beliau tidak pernah mengasari anak-anak didiknya.
Namun baginya, memadai memberi nasihat, bimbingan serta dorongan agar mereka berminat untuk belajar.
“Sebagai seorang pendidik, harus ada perasaan bertangungjawab terhadap murid. Kalau mereka ada masalah, selesaikan dengan cara baik.
“Jangan sesekali menimbulkan perkara yang tidak menyenangkan, sama ada mengungkitkan masalah keluarga pelajar seperti menghina keluarga mereka, kerana ia sesuatu yang peribadi.
“Sebaliknya, guru mesti pertahankan semua anak didiknya supaya mereka terus menyertai sesi pembelajaran demi kejayaan mereka pada masa depan,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.
Beliau mengakui tidak pernah melakukan perkara yang tidak baik kepada muridnya iaitu menggunakan kekerasan kerana ia juga bertentangan dengan peraturan sekolah.
“Suara nyaring tegas dan marah bagi saya tidak apa… asalkan tidak mencederakan pelajar.
Tiada guru yang tidak pernah marah jika murid buat bising atau tidak buat kerja rumah.
“Bagaimanapun, saya memang tidak sampai hati untuk memukul pelajar. Saya hanya beri amaran dan nasihat, nampaknya ia berkesan dan mereka mendengar nasihat kita,” jelasnya.
Masih mesra dengan panggilan Cikgu Besiri, beliau mendedahkan, sikap nakal seseorang pelajar mesti ditangani secara baik, selain cara didikan harus kreatif untuk menarik minat pelajar terhadap akademik.
Beliau turut percaya sekiranya anak didik telah berjaya dalam bidang masing-masing, mereka pasti akan terkenangkan guru yang mengajar mereka.
“Saya yakin perkara ini kerana, jika bekas anak didiknya saya berjumpa dengan saya, mereka tidak ragu-ragu untuk menegur saya,” jelasnya.
Menyanyi di dalam kelas
Kongsinya lagi, cara pengajarannya di dalam kelas ialah melalui nyanyian.
Disebabkan itu, hubungannya dengan semua pelajarnya utuh meskipun beliau berpindah sekolah lain. “Pelajar saya sentiasa terkenangkan saya sebagai seorang cikgu yang suka menyanyi. Lagu dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, menarik minat mereka untuk belajar,” katanya.
Bekas guru subjek bahasa Inggeris ini mendedahkan, sebelum sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bermula, biasanya pelajar tidak memberi tumpuan.
Atas sebab itu, katanya, beliau memulakan kelasnya dengan lagu yang secara langsung menimbulkan suasana positif untuk memulakan PdP.
“Ini cara saya dan dari situ ramai yang masih kenal saya.
Tanpa disedari, tindakan ini menyebabkan semua pelajar saya suka menyanyi,” katanya ceria.
Menurutnya, walaupun sudah lama meninggalkan dunia pendidikan secara rasmi pada 2008, semua bekas pelajarnya hingga kini masih memanggilnya cikgu, jika terserempak dengannya.
Menceritakan kembali kenangan pahit getir sebagai seorang guru pada 1972, selepas tamat belajar di Maktab Perguruan Sibu (kini dikenali sebagai Maktab Perguruan Rajang) pada usia 22 tahun, beliau dihantar ke Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sungai Tusut, Ulu Oya pada 3 Januari 1972.
“Ia merupakan sekolah pedalaman. Tiada jalan raya dan sungai menjadi satu-satunya laluan penghubung ke sana.
“Saya terpaksa menggunakan bot yang mengambil masa tiga hari untuk tiba ke sekolah.
“Hari pertama dan kedua, saya perlu tidur di rumah panjang sebelum meneruskan perjalanan ke sekolah pada hari ketiga.
Ini cabaran harian saya sepanjang empat bulan berkhidmat di sekolah itu,” singkapnya.
Cabaran harian
Menurutnya, tempoh perjalanan panjang terpaksa dilalui kerana air sungai surut di kawasan Ulu Oya yang secara langsung menyukarkan pergerakan bot.
Bapa kepada tujuh orang anak ini menambah, pada waktu tersebut beliau masih bujang dan menumpang bot penduduk tempatan untuk keluar membeli barangan keperluan di Stapang.
“Memandangkan saya tiada bot, saya menumpang bot kawan berbangsa Iban. Saya hanya perlu membayar harga minyak,” dedahnya.
SKR Sungai Tusut merupakan penempatan pertamanya sebagai guru dan tidak menjangka dilantik sebagai guru besar dengan gaji RM200 sebulan.
Selepas berkhidmat di sekolah berkenaan, beliau dipindahkan sementara ke SRK St Mathew Ulu Oya pada Mei 1972, kemudian ke SRK Seberang pada Jun 1972. Pada 1973 hingga 1981, beliau berkhidmat di SRK Kampung Penipah sebelum penempatan terakhir di SRK Datuk Awang Udin dari tahun 1981 hingga pencen.
“Di SRK Datuk Awang Udin, saya memohon untuk terus berkhidmat di sekolah tersebut sehingga tamat perkhidmatan.
“Antara alasan saya ialah keluarga. Saya berkahwin semasa mengajar di SRK Kampung Penipah tahun 1973. Saya tidak mahu berjauhan daripada keluarga,” katanya. Mengenai masalah yang sering dihadapinya ketika mengajar, bekas guru besar di SRK Sungai Penipah ini berkata, pelajar ponteng kelas amat memeningkan beliau.
“Masalah ponteng ini selalu berlaku kepada pelajar yang lembap atau lemah. Disebabkan sukar memahami mata pelajaran yang diajar, mereka rela tidak mahu masuk kelas. “Oleh itu, setelah saya dipindahkan ke SRK Datuk Awang Udin dan dilantik sebagai Penolong Kanan pada 1982 hingga 1984, saya nekad menyelesaikan masalah ini dengan mewujudkan kelas pemulihan.
“Kelas pemulihan ini ialah satu kelas berasingan dengan kelas lain dan ia bertujuan untuk memulihkan pelajaran semua pelajar ini,” katanya.
Cikgu Besiri menambah, nama kelas tersebut bagaimanapun ditukar kepada Kelas Maju kerana beliau berpendapat, nama pemulihan agak negatif.
“Perkataan pemulihan tidak sesuai. Sebagai guru, saya mahu memajukan pelajar sehingga mereka berjaya seperti rakan-rakan sebaya mereka.
“Oleh itu, saya percaya penubuhan Kelas Maju adalah keputusan tepat.
Walaupun untuk meningkatkan tahap pelajaran pelajar itu mengambil masa, namun ia sedikit sebanyak memberi hasil positif,” katanya.
Pemimpin masyarakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dimilikinya membantu bekas guru ini dipilih sebagai pemimpin masyarakat.
Katanya, pengalamannya yang pernah menjadi guru serta mahir dalam pengucapan awam serta bijak mengendalikan mesyuarat memberi kelebihan sebagai pemimpin masyakarat hari ini.
“Sebagai penghulu, saya selalu bermesyuarat dengan warga sekolah.
Dengan pengalaman sebagai bekas guru, ia memberi nilai tambah kepada saya untuk berkomunikasi dengan penduduk kampung serta warga sekolah ketika membincang sesuatu isu atau masalah,” ujarnya.
Pernah menjadi ketua kampung dan kini penghulu, Cikgu Besiri berkata, dalam hidup bermasyarakat nilai saling menghomati amat penting. Ia adalah teras dalam kehidupan.
“Kita dalam satu masyarakat jangan memilih bulu sebab mereka (penduduk) yang akan menjadi anak-anak buah kita.
Sebagai pemimpin, kita bertanggungjawab memenuhi keperluan kampung.
“Saya sudah lima tahun dilantik sebagai penghulu dan sebelum ini dua tahun menjadi ketua kampung.
“Saya masih ingat… hampir tiga kali juga mereka datang berjumpa memujuk saya untuk menerima jawatan sebagai penghulu.
“Setelah berfikir masak-masak, saya bersetuju kerana saya juga mahu berkhidmat kepada masyarakat dalam platform lain pula,” jelasnya yang pernah menerima Anugerah Bentara Bintang Sarawak (BBS) pada 2019.
Sempena sambutan Hari Guru tahun ini, beliau berharap agar semua guru atau bakal guru, menjadi seorang guru yang mempunyai nilai empati terhadap para pelajar mereka.
Selain itu, katanya, bijak dalam memenuhi keperluan pelajar untuk meminati sesuatu mata pelajaran, apatah lagi dalam tempoh mencabar Covid-19 yang melanda sektor pendidikan hari ini.
Daripada tujuh orang anaknya, hanya anak sulungnya mengikut jejak langkahnya, menjadi warga pendidik dan mengajar di SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud di Kota Samarahan.