Mun terlepas sinun,  air mata darah pun sik guna lagik

KUCHING: Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam mahu semua ahli majlis kerajaan tempatan bekerja keras agar GPS terus menguasai tampuk pemerintahan Kerajaan Sarawak pada pilihan raya negeri akan datang.

Tanggungjawab itu katanya, penting agar GPS dapat mempertahankan kuasa pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT), dan tidak menyerahkan kepada pihak lain.

PBT katanya, adalah hak Sarawak, sama seperti kuasa Imigresen yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Mun sidaknya ambik alih Kerajaan Negeri, habis kita. Kerajaan tempatan pun diambiknya. Di bawah Kerajaan Pusat nya boleh meminda perlembagaan. Jangan tok berlaku, kita mesti tahankan hak kita.

“Kelakar sitok manis… mun terlepas sinun, air mata darah pun sik guna lagik.

Ujarnya: “Kinek tok baruk sedar, sinun bergohet sama dirik. Nak berebut jadi Perdana Menteri. Macam-macam keluar, video apalah. Kita di Sarawak, sidak kaunselor (PBT) gago nak molah pembangunan untuk rakyat.

“Saya tok bercakap terus terang dengan kitak. Kalau orang nak bawa perang, kita perang benar- benar!

“Apabila berperang, logistik perlu dijaga.

“Peluru mauk betul. Tembak maok betul. Jangan tembak kenak kerak. Sebab ya kitak pemimpin akar umbi mesti bersedia. Jangan harap kamek atas. Kamek akan berjuang. Jeneral berjuang!” katanya sempena Upacara Angkat Sumpah dan Seminar Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sebuah hotel di sini, semalam.

Seramai 745 ahli majlis dilantik dalam kalangan 24 majlis tempatan di negeri ini untuk tempoh 2019 hingga 2021.

Daripada jumlah tersebut, 318 merupakan muka baharu. Jelasnya, seorang menteri

Persekutuan semasa mengadakan kunjungan hormat kepadanya sebelum ini pernah mencadangkan supaya kuasa pentadbiran PBT Sarawak diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Ada orang cuba mengambil hak PBT kita tetapi saya katakan tidak… kerajaan tempatan Sarawak harus ditadbir oleh Kerajaan Sarawak sendiri,” tegasnya lagi.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri James Jemut Masing serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian.