Mungkin warga kota masih ketakutan

MIRI: Warga bandar raya ini kembali mengunjungi kawasankawasan tumpuan di pusat bandar sejak PKPP dikuatkuasakan pada 10 Jun lalu tetapi kunjungan itu agak suram, tidak seperti sebelum ini.

Salah satunya ialah Wireless Walk – lokasi yang menerima kunjungan paling popular pada waktu malam yang dibangunkan di koridor pelancongan di Jalan North Yu Seng di sini.

Lokasi tumpuan baharu ini berjaya menarik perhatian warga tempatan juga negara jiran Brunei sejak dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 26 Februari lalu itu.

Namun disebabkan penguatkuasaan PKP pada bulan Mac lalu akibat penularan Covid-19 di negara ini, semua kegiatan dan aktiviti di lokasi berkenaan terpaksa diberhentikan.

Tinjauan Suara Sarawak ke lokasi mendapati beberapa gerai sudah mula beroperasi seperti biasa, namun keadaan masih kelihatan lengang berbanding dengan keadaan sebelum ini.

Pengerusi Peniaga-peniaga Wireless Walk Miri Mohamad Abdullah Jamin berkata, jumlah pengunjung masih berkurangan walaupun sudah dibenarkan untuk beroperasi.

Menurutnya, faktor itu mungkin disebabkan orang ramai masih takut akan penularan wabak berjangkit Covid-19. “Ditambah pula warga Brunei masih belum dapat merentasi sempadan kerana masih belum membuka sempadan negara.

“Penduduk Miri pula mungkin masih tidak berani untuk keluar dan pergi makan di tempat terbuka walaupun peniaga telah mengambil langkah pematuhan SOP,” kata beliau ketika dihubungi di sini, semalam.

Peniaga Herlina 41, ketika ditemui di gerai berkata, berlaku perubahan ketara kerana pengunjung tidak ramai seperti sebelum ini. “Sekarang ini, kami diibaratkan merangkak kembali, seperti mulamula buka kedai dulu.

“Saya harap keadaan akan semakin pulih selepas ini dan semua kembali seperti biasa,” katanya. Manakala seorang peniaga muda berusia 18 tahun yang dikenali sebagai Dorrisa berkata, keadaan sekarang masih boleh dikatakan baik walaupun pengun- jung berkurang.

“Pengunjung memang ada, cuma jumlahnya kurang berbanding sebelum ini. “Tetapi, itu sudah memadai, sebab masih ada yang datang ke sini malam-malam,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai masalah dihadapi apabila gerai terpaksa ditutup, Dorissa memberitahu, Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 2020 sedikit sebanyak mengurangkan beban yang dialami peniaga di situ. “Keadaan perniagaan masih baik sebab bantuan yang diberikan Kerajaan Sarawak sedikit sebanyak membantu kos kerugian kami,” ujarnya.