Murid sekolah rendah cemas bas dilanggar lori

SIMUNJAN: Seramai 20 kanak-kanak mengalami detik cemas apabila bas sekolah dinaiki mereka dilanggar sebuah lori, dalam kejadian yang berlaku berdekatan Kampung Jerok Telagus, Jalan Serian-Sri Aman awal pagi tadi.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Sarawak, kejadian dilaporkan sekitar jam 6.07 pagi apabila lori yang membawa muatan baja terbabit melanggar bahagian belakang bas sekolah berkenaan.

“Semasa kejadian bas sekolah membawa 20 orang murid sekolah rendah namun semua penumpang termasuk pemandu bas selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, dua kelindan lori terbabit terperangkap di bahagian depan lori yang remuk dengan seorang daripada mereka patah kaki kiri, manakala pemandu lori hanya mengalami luka kaki kanan.

Dua kelindan terbabit telah dikeluarkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian menggunakan peralatan khas.

Semua mereka kemudian dibawa ke Hospital Serian untuk rawatan.

Suara Sarawak