Musik kafe, kelam malam dan bistro dilarang beroperasi

KUCHING: Musik kafe, kelab malam dan bistro tidak dibenarkan untuk beroperasi.

“Sebab salah faham, ada yang fikir bistro sebagai restoran,” kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing.

Beliau turut menegaskan tindakan amaran dan penutupan premis akan dikenakan kepada pemilik kedai, syarikat dan pasaraya yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Sementara, Uggah merangkap Pengerusi JPBN berkata sejumlah 3,790 permohonan pergerakan antara Daerah telah diterima di 28 buah Ibu Pejabat Daerah PDRM seluruh Sarawak menjadikan jumlah sebanyak 30,782 permohonan.

Katanya daripada jumlah tersebut, sebanyak 28,627 telah diluluskan dan 2,155 ditolak.

Manakala, beliau berkata pasukan pemantau telah memantau sebanyak 2,005 lokasi iaitu pasaraya (275), restoran (516), kilang (42), bank (171), pejabat kerajaan (75), penjaja (97), pasar tani / awam (110), tempat ibadah (100), tempat riadah (57), tapak pembinaan (32) dan lain-lain (530).

“Sehingga hari ini sebanyak 28,539 pemberitahuan sektor ekonomi yang telah dibuka diterima.

“Daripada jumlah tersebut, 20,519 adalah melalui atas talian dan 8,020 melalui emel,” katanya.