Jerebu isu tahunan yang sering terjadi di Malaysia, terutama di Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak.
Kualiti udara di seluruh negara minggu ini di tahap membimbangkan apabila terdapatnya peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang tidak sihat.
Hal ini agak merisaukan kerana ia boleh mendatangkan masalah kesihatan berkaitan dengan jerebu.
Kebakaran hutan dari Indonesia dikaitkan dengan kejadian jerebu melanda negara kita minggu ini.
Melalui imej satelit sumber daripada Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC), terdapat lebih 2000 titik panas dikesan di sekitar Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.
RISIKO
Pakar menjangkakan bahawa jika jerebu berterusan, pertukaran monsun barat daya ke monsun timur laut pada Oktober ini juga meningkatkan lagi risiko kejadian kebakaran hutan dan masalah jerebu.
Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 adalah sederhana, 101 hingga 200 sebagai tidak sihat, 201 hingga 300 sebagai sangat tidak sihat, dan 300 ke atas sebagai berbahaya.
Sekolah-sekolah dan tadika diarah tutup jika bacaan IPU melebihi 200, dan aktiviti luar hendaklah diberhentikan jika bacaan indeks melebihi 100.
Bacaan IPU dicatat melebihi 100 di beberapa kawasan di negara kita minggu ini.
Pemandangan udara yang terhad kerana asap jerebu dan pencemaran udara yang boleh menjejaskan kesihatan paru-paru secara senyap tanpa kita sedari.
Jerebu terjadi apabila kualiti udara menjadi rendah kerana mengandungi campuran bahan pencemar udara seperti habuk, zarah asap, karbon monoksida, dan gas toksik.
Zarah halus pencemar udara ini boleh menembusi paru-paru dan saluran darah, mengakibatkan risiko masalah kesihatan terhadap rakyat Malaysia.
KESAN
Mereka yang mempunyai masalah paru-paru dan jantung adalah golongan berisiko mendapat kesan sampingan akibat asap jerebu yang terjadi minggu ini.
Kesan pendedahan walaupun seketika terhadap asap jerebu boleh menyebabkan
sakit tekak, pening kepala dan selesema.
Kesan jangka panjang pula, jerebu boleh mengakibatkan komplikasi kesihatan yang teruk seperti mengurangkan kadar jangka hayat seseorang dan masalah tumbesaran janin bagi ibu mengandung.
Bagi mengurangkan risiko masalah kesihatan akibat jerebu terjadi, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan garis panduan ketika berada di tempat kerja dan di luar rumah.
Garis panduan disarankan adalah seperti berikut:
1. Mengurangkan aktiviti luar.
2. Menutup semua pintu, tingkap, dan mana-mana aliran pembukaan udara yang membenarkan asap jerebu masuk .
3. Penyelenggaraan dan pembersihan rutin secara berkala terhadap penyaman udara.
4. Menggunakan penulen udara untuk memastikan pencemaran udara rendah.
5. Memberikan didikan kesedaran kesihatan berkaitan jerebu terhadap para pekerja.
6. Menyediakan “Respirator” (N95) jika para pekerja perlu bekerja di luar.
7. Melakukan “fit testing” untuk “respirator” sebelum digunakan .
Rakyat hendaklah peka tahap kesihatan diri dan mengambil langkah sepatutnya jika mengalami masalah berkaitan jantung dan pernafasan ketika musim jerebu.
Pastikan pengambilan ubat-ubatan secara rutin dikekalkan untuk penyakit yang sedia ada, terutama penyakit jantung dan masalah saluran pernafasan.
Tingkatkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran segar dan minum air dengan banyak.
Ini membantu tubuh membuang toksin yang diserap melalui kulit dan paru-paru. Hal ini juga dapat meningkatkan sistem imuniti badan.
NUTRIEN
Kurangkan pengambilan alkohol dan minuman berkafein seperti kopi. Hal ini untuk mengelak kecenderungan tubuh badan kehilangan air dan nutrien dengan pantas.
Elakkan tabiat merokok dan gunakan “Respirator” seperti topeng muka N95 apabila keluar rumah jika bacaan Indeks IPU melebihi 100.
Kesan pencemaran udara dan jerebu terhadap kesihatan pernafasan adalah perkara yang perlu diambil berat buat masa sekarang.
Dengan memahami risiko kesihatan yang bakal terjadi dan mengambil langkah pencegahan awal kesan jerebu, rakyat Malaysia dapat melindungi diri dan orang yang tersayang ketika tempoh jerebu terjadi.
Pastikan kita sentiasa cakna informasi semasa berkaitan jerebu dan proaktif dalam melindungi kesihatan paru-paru dengan mengambil langkah penjagaan yang berkesan walaupun cabaran musim jerebu terjadi lagi tahun ini.