Muzik sape jana pendapatan

MIRI: Alunan muzik tradisional Orang Ulu iaitu sape bukan hanya mampu memukau pendengar tetapi pada masa sama mampu menjana pendapatan lumayan kepada pemainnya.
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Dennis Ngau mengakui ramai orang luar sudah berminat mempelajari muzik tradisional Orang Ulu.
“Selain bermain sape sebagai hobi, saya percaya pemain sape mampu menjana pendapatan mereka melalui persembahan muzik secara terbuka untuk menghiburkan orang awam,” katanya semasa merasmikan Pelancaran Program Latihan Warisan Sape Telang Usan Kumpulan 2 baru-baru ini.
Beliau yang juga Adun Telang Usan berkata, meskipun muzik sape sudah mula dipelajari oleh kaum lain termasuk pemuzik antarabangsa, namun ia tidak seindah jika dimainkan oleh Orang Ulu itu sendiri.
“Apabila muzik sape ini dimainkan sendiri oleh Orang Ulu, ia lebih asli dan malar segar malahan saya sendiri seolah-olah ingin menari jika mendengar alunan Sape,” katanya.
Sehubungan itu, generasi muda Orang Ulu terdiri daripada Kayan dan Kenyah perlu mewarisi kemahiran bermain Sape yang asli dari orang lebih veteran. Dennis Ngau percaya jika ada minat dan komitmen mengekalkan warisan muzik tradisional sape, maka tidak hairanlah lebih ramai pemain sape profesional seperti Guru Mathew Ngau dilahirkan di Telang Usan.
“Kita berharap 13 pelatih baharu ini mengambil peluang dan ruang untuk belajar dan menghayati keaslian muzik sape dalam Program Latihan Warisan Sape Telang Usan,” jelasnya.
Dennis Ngau turut memuji inisiatif Sarawak Energy Berhad (SEB) yang menyokong usaha memulihara keindahan muzik Sape di kalangan generasi baru.
Tambahannya, SEB telah mengeluarkan banyak peruntukan bagi memastikan muzik sape ini dapat diwariskan kepada masyarakat Orang Ulu di Baram.
“Kita juga berbanding pelatih perantis dalam Kumpulan 1 yang menamatkan latihan selama dua tahun turut dipanggil menjadi tutor atau pembimbing kepada pelatih baru kali ini.
“Ia adalah kejayaan besar dalam usaha mewariskan seni dan adat tradisional termasuk muzik sape kepada generasi baharu di kalangan Orang Ulu,” jelasnya.
Dennis Ngau berharap, SEB akan meneruskan inisiatif terbabit serta memperkenalkan alat muzik lama yang tidak kedengaran lagi seperti Tung, Satung, Keledi dan sebagainya.
Majlis dihadiri Pengurus Bahagian Korporat SEB, Augustine Supen Taha, Ketua Kampung Long San,Tak Lucia Paya Kalang Penghulu Anthony Kule Lalo dan Guru Sape Orang Ulu, Mathew Ngau.