
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membina sebuah muzium baharu seperti Muzium Budaya Borneo di Bintulu dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari berkata, ini kerana bahagian Bintulu mempunyai sejarahnya tersendiri terutama sekali melibatkan arena politik Sarawak.

FOTO: GHAZALI BUJANG
“Kita mahu sebuah muzium serupa dengan Muzium Budaya Borneo dibina di Bintulu kerana bahagian itu yang melahirkan demokrasi pertama di Sarawak, malah Dewan Undangan Negeri (Dun) pertama dan mesyuarat pertama Dun Sarawak juga di sana.
“Justeru, kita berharap muzium yang akan mempamerkan sejarah Bintulu ini dapat disiapkan di dalam tempoh tiga tahun,” katanya ketika berucap sempena perasmian Restoran Muzium Budaya Borneo di sini, malam tadi.
Tambahnya, muzium tersebut akan dibina sebagai versi yang lebih kecil daripada Muzium Budaya Borneo.
Menurutnya, muzium tersebut akan dilengkapi dengan kemudahan terkini termasuk restoran bagi memenuhi keperluan masyarakat tempatan, pengunjung khususnya pekerja asing yang berada di sana.
“Bintulu mempunyai banyak warga asing terutama melibatkan kawasan industri dan mereka ini juga ada yang datang dari Korea, Jepun dan lain-lain.
“Justeru, warga asing ini juga berpotensi untuk membawa orang mereka datang melawat ke bahagian tersebut.
“Jadi dengan konsep ini, pengunjung juga akan menikmati kemudahan yang disediakan dan pada masa yang sama mengetahui sejarah bahagian berkenaan,” ujarnya tanpa mendedahkan kos pembinaan muzium tersebut.