Muzium perubatan pertama Malaysia di Sibu

SIBU: Muzium Peringatan Hospital Lau King Howe di sini akan dibaik pulih jika semua perrancangan berjalan lancar, kata Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapaee.

“Struktur bangunan akan diubah suai,” katanya sambil menambah, muzium itu kali terakhir dibaik pulih lebih 10 tahun lalu.

Menurutnya, Persatuan Muzium Peringatan Hospital Lau King Howe akan menghantar surat cadangan kepada Kerajaan Negeri untuk memohon dana bagi kerja-kerja pengubahsuaian.

“Selebihnya (dana) nanti harus datang daripada sumbangan orang ramai. Melalui program Babies Of Lau King Howe Hospital, orang ramai dapat menyumbang sejumlah RM1 untuk tujuan itu,” katanya di sini, kelmarin.

Dr Annuar yang juga Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi memberitahu, hospital itu dibina oleh seorang doktor kelahiran Sibu Dr Lau King Howe pada 1963 di tapak penempatan awal masyarakat  Melayu/Melanau Sibu.

“Muzium ini merupakan muzium perubatan pertama di Malaysia, malah hanya satu-satunya muzium hospital di Malaysia.

“Sebagai menghargainya, kami merancang mengadakan projek Babies Of Lau King Howe Hospital. Semua yang lahir di hospital ini diharapkan menderma RM1 untuk tujuan baik pulih muzium ini,” jelasnya sambil memberitahu, projek itu akan dilancar dalam masa terdekat.

Adun Nangka itu berharap muzium itu akan menjadi pusat rujukan sejarah perubatan untuk kegunaan generasi masa depan.

Sementara itu, beliau baru-baru ini telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Persatuan Muzium Peringatan Hospital Lau King Howe Temenggong Datuk Vincent Lau serta ahli jawatankuasanya di muzium tersebut bagi membincangkan rancangan dan program membaik pulih muzium tersebut.

Dr Annuar berkata, muzium tersebut mula dibuka pada 3 Ogos 1996, kemudian ditutup kerana kerja-kerja pembinaan Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2 pada Jun 2005. Ia dibuka semula selepas pengubahsuaian pada 4 Disember 2008.

Suara Sarawak