My School, My Home ceriakan warga SK Rambungan

SAMSUNG Malaysia Electronic (Samsung) bertekad untuk menjadi inspirasi kepada dunia dan membentuk masa depan menerusi teknologi inovatif.

Melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Samsung baru-baru ini melancarkan My School, My Home iaitu sebuah tempat yang menjadi titik pertemuan bagi pendidikan dan ketercapaian untuk memperbaiki serta meningkatkan kehidupan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Rambungan di Lundu.

SK Rambungan terletak di kawasan pedalaman dan merupakan sekolah yang melambangkan masa depan daerah Lundu.

Namun begitu, sebagai sebuah institusi pendidikan sekolah ini kekurangan dan ketinggalan dalam aspek kemudahan asas yang diperlukan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada pelajar khasnya dan warga sekolah termasuk ibu bapa amnya.

Disebabkan lokasi tempat tinggal terletak terlalu jauh dari sekolah dan perjalanan memenatkan untuk berulang-alik, jumlah pelajar di SK Rambungan semakin berkurangan dari tahun ke tahun.

Justeru, inisiatif yang dilancarkan oleh Samsung untuk membawa kehidupan lebih baik kepada pelajar, guru dan ibu bapa SK Rambungan menerusi dua penyelesaian iaitu My School (sebuah pusat sumber lengkap untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah tersebut) serta My Home (kemudahan asrama untuk menempatkan guru-guru dan ibu bapa yang datang dari jauh).

“Di Samsung, kami sedar bahawa ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab kami untuk membantu meningkatkan komuniti global.

“Kami sentiasa komited membawa inovasi perintis dengan harapan membantu meningkatkan kehidupan dan menyumbang ke arah kesejahteraan sosial rakyat negeri ini.

“Kami harap dengan inisiatif ini, kami dapat merapatkan jurang teknologi antara pelajar di kawasan pedalaman dengan pelajar di bandar, dan seterusnya berharap supaya dapat memberikan peluang yang sama kepada warga SK Rambungan dari segi kehidupan dan pembelajaran,” kata presidennya, Yoonsoo Kim.

Turut hadir pada pelancaran tersebut ialah Menteri Muda Elektrik Luar Bandar, Dr. Abdul Rahman Junaidi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) N3 Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu.

Dilengkapi kemudahan terkini

MY School dilengkapi dengan tablet Samsung Galaxy serta televisyen pintar, dibangunkan untuk pelajar dan guru di sekolah tersebut untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran.

My Home pula dilengkapi dengan penyaman udara, peralatan rumah dan televisyen yang disumbangkan oleh Samsung.

Ia dibina khusus untuk guru-guru dan ibu bapa yang menempuh perjalanan jauh untuk ke sekolah.

Kemudahan asrama anak-anak pula disediakan dengan ruang dobi yang dinaik taraf supaya lebih teratur dan selesa.

“Ruang dobi kini dilengkapi dengan mesin basuh daripada Samsung,” tambah Yoonsoo Kim.

Sementara itu, Abdul Rahman dalam ucapannya memuji usaha CSR Samsung di SK Rambungan.

“Bagi warga SK Rambungan, saya ingin merakamkan penghargaan bagi inisiatif ini.

“Tidak cukup tepat sekiranya kita mengatakan bahawa ia memberi kehidupan lebih baik kepada semua yang berada di sekolah ini, kerana inisiatif ini memberikan manfaat jauh lebih banyak,” katanya.

Beliau turut memuji kerjasama semua pihak dalam menjayakan inisiatif My School, My Home di SK Rambungan.

“Tahniah kepada semua pihak yang membantu merealisasikan inisiatif ini kerana usaha gigih anda, pelajar SK Rambungan kini mempunyai platform untuk menyemarakkan cita-cita dan harapan mereka melalui pendidikan digital.

“Kita amat berbangga dengan pencapaian ini dan berharap agar kita semua meneruskan sokongan kepada agenda kebangsaan ke arah Malaysia yang lebih baik,” jelas Abdul Rahman.

Bagi Guru Besar SK Rambungan, Abdullah Menterang, inisiatif program yang diadakan itu amat signifikan dalam membantu melonjakkan lagi tahap kecemerlangan pendidikan daerah, khususnya dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah.

“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan di sekolah-sekolah lain di negeri ini supaya kita dapat sama-sama merasai kemudahan yang terkini kepada pelajar,” katanya.

Suara Sarawak