My Team Prihatin terus aktif bantu masyarakat

DARO: My Team Prihatin (MYTep) yang dianggotai belia Pulau Bruit terus aktif melaksanakan pelbagai program kebajikan bagi membantu golongan kurang berkemampuan di kawasan ini.

Pengerusinya, Sebuti Juni berkata, setakat ini, mereka telah menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan kepada mereka yang memerlukan di seluruh kampung di kawasan utara dan selatan Pulau Bruit.

Katanya, antara sumbangan berkenaan ialah kerusi roda, makanan asas, lampin pakai buang, selain pelbagai barangan keperluan lain.

“Kebanyakan penerima sumbangan terdiri daripada warga emas dan pesakit terlantar. Sumbangan yang kita hulur bertujuan meringankan beban mereka. Kita bergerak dari kampung ke kampung dan akan terus melaksanakan usaha murni ini dari semasa ke semasa, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebuti ( tiga kanan) bersama anggota MYTep dalam perjalanan menghulurkan sumbangan di Pulau Bruit.

Sebuti berkata, MYTep yang ditubuhkan pada 1 Disember 2017 berperanan memantau dan membantu golongan sasar termasuk OKU bagi memastikan mereka berdaftar dan tidak terlepas daripada mendapat bantuan pihak yang berwajib.

“Saya bangga dengan komitmen padu keseluruhan ahli MYTep walaupun kami bergerak dalam jumlah yang kecil. Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol dan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab yang tidak pernah jemu memberikan sokongan,” katanya.

Beliau berkata, MYTep akan memperbanyakkan lagi aktiviti berbentuk kebajikan dengan melibatkan penyertaan masyarakat khususnya golongan belia bagi menyemai rasa prihatin mereka terhadap nasib golongan yang memerlukan.

“Sebagai langkah susulan, kita akan sentiasa melakukan penambahbaikan dalam melaksanakan program supaya aktiviti yang dianjurkan itu menepati aspirasi golongan sasar.

“Mudah-mudahan, yang kita usahakan ini dapat membantu menyampaikan hasrat kerajaan di samping menghulurkan sumbangan bakti untuk masyarakat,” jelasnya.

Mengabadikan kenangan bersama salah seorang penerima bantuan

 

Seorang wanita warga emas turut menerima sumbangan MYTep