
KUCHING : MyAirline Sdn. Bhd menambah satu lagi penerbangan tambahan untuk sektor Kuala Lumpur ke Kuching sekali gus menjadikan jumlah penerbangan dua kali sehari kepada tiga kali sehari.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Rayner Teo berkata, penerbangan tambahan itu akan bermula pada 23 Disember ini.
Katanya, laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Sibu (KUL-SBW) pula berkuat kuasa pada 18 Januari ini.
“Ia diikuti dengan satu lagi laluan baharu Kuala Lumpur-Miri-Kuala Lumpur bermula Mac, 2023,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pengangkutan, Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin, di pejabatnya, hari ini.
Dalam pada itu, Kim Shin mengalu-alukan dan berterima kasih kepada MYAirlines mewujudkan penerbangan ke Sarawak dan berharap syarikat penerbangan itu dapat memperkenalkan lebih banyak laluan dari luar dan dalam Sarawak.
Beliau turut mencadangkan MYAirline memasukkan penerbangan terus dari Sarawak dalam rancangannya untuk terbang ke bandar-bandar ASEAN tertentu, selain Kuala Lumpur.
Antara perkara lain yang turut dibincangkan termasuk tambang penerbangan, jadual penerbangan, lesen perkhidmatan udara, kualiti perkhidmatan dan meneroka potensi kerjasama antara kementerian dan MYAirline.
Hadir sama, Ketua Komunikasi Korporat MYAirline Sdn Bhd, Siti Maslinda Sheikh Othman, Ketua Strategi Korporat dan Analitik MYAirline Sdn Bhd, Jong Jar Shang, Ketua Bahagian Penerbangan MOTS, Zulkarnain Rosli dan pegawai Kementerian yang lain.