KUCHING: Seorang jurujual dijatuhi hukuman penjara 10 hari atau denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya disamun oleh dua orang lelaki tidak dikenali.
Tertuduh Sweson Libu Samat, 30, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.
Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching, kira-kira jam 10.30 pagi, 25 September lalu.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, seorang pegawai polis telah membuat soal siasat terhadap tertuduh yang membuat laporan polis mengenai satu kejadian samun hingga menyebabkan barang miliknya hilang.
Namun, hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku membuat laporan palsu kerana bimbang dikenakan denda kerana kad pengenalannya hilang.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.