ARTIKEL

MyKiosk mudahkan peniaga

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARATOK: Peniaga kecil tepi jalan di Saratok dan Roban boleh menarik nafas lega apabila permohonan mereka untuk mendapatkan kemudahan berniaga seperti MyKiosk diluluskan oleh kerajaan.

ADUN Kalaka Mohamad Duri berkata, ia satu lagi inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memastikan peniaga dapat berniaga dengan lebih selesa.

“Syukur, rintihan golongan peniaga kita didengar oleh kerajaan.

“Selepas ini gunakan kemudahan yang diberikan untuk mempelbagaikan jualan masingmasing, seterusnya meningkatkan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program penyerahan MyKiosk Saratok dan Roban di Dewan Pejabat Daerah Saratok, semalam.

Tegas Mohamad, penerima MyKiosk diingatkan agar mengutamakan kebersihan masingmasing.

“Bagi saya MyKiosk yang disumbangkan oleh kerajaan ini bukan sahaja rekaannya cantik, tetapi sangat sesuai digunakan untuk menjual bermacam-macam produk.

“Dan saya difahamkan, tempat lokasi berniaga juga telah diaturkan oleh Majlis Daerah Saratok (MDS), maka patuhi untuk tidak dialih-alih.

“Sesuai kemudahan berniaga yang baharu, jaga kebersihan termasuk persekitaran tempat berniaga. Ia menjadi tanggungjawab bersama,” ujarnya.

Beliau memaklumkan 25 MyKiosk diserahkan kepada peniaga.

Di Saratok, lapan unit diletakkan di Dataran Hab Usahawan Saratok, kawasan lapang di hadapan Bank Simpanan Nasional (BSN) enam unit, masing-masing tiga di Saratok Town Square dan kawasan lapang Jalan Wee Geok Eng.

Sementara di Roban diletakkan masing-masing enam unit di hadapan pasar raya Family dan Tamu Basah Roban.

ADUN Krian Friday Belik, Ahli Dewan Negara Senator Pele Peter Tinggom dan Pegawai Daerah Saratok Muhammad Dino Amid turut hadir sama.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU