PENYANYI Nadeera Zaini mengakui berdepan tekanan untuk memastikan namanya terus relevan dalam industri muzik, terutamanya apabila perlu menghasilkan karya baharu secara berterusan.
Nadeera, 33, berkata cabaran mempertahankan kedudukan dalam industri dirasakan lebih sukar berbanding ketika dia mula membina nama sebagai penyanyi.
Menurutnya, antara perkara yang turut menjadi cabaran ketika ini ialah mencari komposer yang mampu menghasilkan karya yang bersesuaian dengan identiti dan hala tuju muziknya.
Pada masa sama, Nadeera menjelaskan kerjasamanya dengan Hael Husaini tidak bermakna dia bergantung sepenuhnya kepada penyanyi dan komposer tersebut.
Sebaliknya, Hael banyak memberikan tunjuk ajar sepanjang perjalanan seninya.
“Saya memang agak stres untuk mengekalkan nama sendiri dalam proses mencari komposer.
“Ramai di luar sana cakap saya terlalu bergantung kepada Hael Husaini, tetapi hanya saya dan Hael tahu dia banyak mengajar saya,” katanya.
Bagaimanapun, Nadeera terbuka untuk bekerjasama dengan lebih ramai komposer dan kini sudah mula bertemu dengan beberapa pengkarya lain bagi mencari bahan yang sesuai.
Pada masa sama, dia masih mendapatkan pandangan Hael dalam proses kreatifnya.
Sementara itu, penyanyi berkenaan mengakui ada peminat yang menyuarakan kebimbangan apabila dia mengambil masa agak lama untuk menghasilkan single baharu.
Namun, dia tidak menganggap teguran tersebut sebagai sesuatu yang perlu dipandang secara negatif.
“Memang saya lambat pun. Tetapi saya sedang mencari bahan yang betul-betul mahu diberikan kepada mereka kerana saya tak mahu keluarkan sesuatu secara sia-sia,” jelasnya.
Nadeera berkata kejayaan lagu Cuba Jadi Aku yang mendapat sambutan menggalakkan turut membuatkannya lebih berhati-hati dalam memilih karya seterusnya.
Menurutnya, single baharu kini dalam proses penghasilan dan dijangka diperkenalkan tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Nadeera turut berkongsi sisi emosinya sebagai penggiat seni apabila mengakui pernah menangis ketika berdepan dengan bebanan komen peminat serta kecaman orang ramai.
Namun, dia tetap berusaha menguatkan diri dan meneruskan kerjaya muziknya.
“Memang kita kena sentiasa kuat secara fizikal dan mental, tetapi kita juga manusia biasa yang ada hati dan rapuh. Kadang-kadang kita menangis juga, kadang-kadang kita buat-buat tidak dengar semua itu.
“Saya menyanyi bukan semata-mata untuk kepuasan diri sendiri. Saya mahu berikan sesuatu yang bermakna buat pendengar dan cuba membuatkan orang lain gembira,” ujarnya.



