Nafi guna Najib sebagai orang tengah, GPS tidak pernah adakan perjanjian dengan Putrajaya berhubung peralihan kerajaan

KUCHING: Ketua Menteri selaku pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak pernah memutuskan perjanjian dengan mana-mana pihak di Semenanjung Malaysia.

Menurut kenyataan dari sumber terdekat menjelaskan satu-satunya kebimbangan GPS adalah untuk memastikan kerajaan persekutuan stabil demi kepentingan negara.

Justeru, ia menegaskan kenyataan oleh Parti Sarawak Bersatu (PSB) bahawa Abang Johari telah pergi ke Kuala Lumpur cuba memutuskan perjanjian khususnya dengan Umno dan Pas susulan desas-desus pembentukan kerajaan baharu, adalah tidak benar.

“Ini hanya spekulasi oleh PSB. Ketua Menteri tidak memutuskan perjanjian dengan mana-mana pihak di Semenanjung,” katanya hari ini.

Kenyataan itu turut menafikan gambar Abang Johari bersama pemimpin-pemimpin Pas termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah semasa beliau berada di Kuala Lumpur.

Ia menjelaskan gambar itu diambil di Kuching semasa Abang Johari menerima kunjungan hormat daripada Abdul Hadi dan para pemimpin Pas terbabit.

Pada masa sama, sumber terdekat turut menafikan laporan sebuah akhbar nasional yang mendakwa GPS meminta bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najin Razak sebagai orang tengah bagi membincangkan mengenai gabungan untuk membentuk kerajaan.

“Sebagai portal berita perdana, Berita Harian sepatutnya menyemak kesahihan sumber berita terdahulu. Ini merupakan satu lagi spekulasi. Tiada pertemuan akan berlaku,” katanya.

Suara Sarawak