Naik taraf Internet jayakan pembelajaran di rumah

KUCHING: Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) memohon kerajaan menaik taraf liputan dan akses Internet di luar bandar.
Timbalan Presidennya Edward Awan berkata, ini bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dilaksanakan dengan lancar.
“Justeru, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) perlu menyegerakan pembinaan menara telekomunikasi termasuk melipatgandakan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP). “Memobilisasikan logistik dan kenderaan pembekalan Internet ke kawasan yang sukar untuk mendapat capaian,” katanya baru-baru ini..
Beliau menyarankan badan dan yayasan termasuk semua wakil rakyat untuk tampil membantu mendepani masalah PdPR.
“Kita mohon syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat multinasional berkaitan telekomunikasi menunjukkan sikap solidariti dengan memberi pakej Internet dan telefon pintar dengan harga berpatutan. “Ia boleh diberikan dengan kepenggunaan yang disesuaikan dengan PdPR termasuk pakej data tanpa had,” ujarnya.
Menurutnya, isu PdPR mencetuskan satu fenomena nasional selepas ia perlu dilaksanakan secara atas talian bermula 20 Januari lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Masih ramai anak di luar bandar terutamanya pedalaman tidak dapat mengikuti PdPR selain ibu bapa tidak mampu untuk membeli peranti.
“Agak sukar untuk menggambarkan cabaran dan kepayahan yang terpaksa ditempuhi. “Namun warga pendidik harus terus optimis dan komited dalam mendidik anak bangsa tempatan agar menjadi insan berjaya,” katanya.
Tambahnya, usaha melipatgandakan penggunaan teknologi dan merapatkan jurang digital perlu dilakukan dengan segera bagi mengelakkan lebih ramai pelajar tercicir.
“Kita yakin jika kerajaan menyediakan prasarana yang lebih baik, guru dan pelajar dapat meningkatkan kualiti pendidikan kerana hanya pendidikan yang baik dapat mengatasi kemiskinan khususnya di luar bandar Sarawak,” tegasnya.
Beliau turut menasihati ibu bapa memberi kerjasama terbaik kepada guru dalam membantu pelaksanaan PdPR supaya berjalan dengan lancar.