KUCHING: ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin komited dalam meningkatkan taraf dan kualiti hidup masyarakat yang tinggal di Kota Sentosa.
Beliau juga akan mendapatkan peruntukan dana sistematik untuk menaik taraf taman rekreasi lain di kawasannya.
Berikutan dengan bantuan yang diminta oleh penduduk kawasan tersebut, beliau berjaya mendapatkan peruntukan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar Kerajaan Sarawak untuk menaik taraf taman rekreasi seperti yang dipohon oleh penduduk.
Sehubungan itu, sebanyak RM200,000 diluluskan untuk Taman Rekreasi Olive Garden, RM100,000 untuk Taman Semaba dan RM50,000 bagi Lorong 2, Jalan Semaba untuk kerja menaik taraf yang akan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP).
Dalam masa sama, beliau melawat tapak projek bersama pegawai MPP untuk memberi taklimat berkenaan dengan projek menyediakan pelan reka bentuk dan spesifikasi serta bil kuantiti untuk kerja menaik taraf seperti yang diminta oleh penduduk.
Semasa melawat tapak tersebut, Wilfred Yap turut berbincang dan meminta agar MPP menyegerakan kerja menaik taraf dan siap mengikut jadual untuk dimanfaatkan oleh rakyat.
Ini terutamanya kawasan taman rekreasi kerana ia merupakan tempat yang kondusif untuk berkumpul, menyediakan peluang untuk rekreasi tanpa mengira umur dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk.