Naik taraf sekolah daif Sarawak bakal bermula

KUCHING: Kerajaan persekutuan sudah mengagihkan sebanyak RM100 juta untuk menaik taraf sekolah-sekolah daif di Sarawak.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata projek ini dijangka mula dilaksanakan tidak lama lagi.

“Tender sudah dikeluarkan,” katanya ketika ditemubual hari ini.

Beliau ditemui sempena kongres 23rd Pacific Association of Quantity Surveyors (PAQS) di sini, yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut Baru, sebanyak 10 pakej akan dilaksanakan menggunakan peruntukan tersebut dengan setiap pakej melibatkan dua atau tiga buah sekolah.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada peruntukan itu adalah daripada RM350 juta yang dibayar kerajaan Sarawak kepada kerajaan persekutuan untuk menaik taraf sekolah-sekolah daif di Sarawak.

“RM350 juta itu saya tidak pasti, saya hanya tahu mengenai RM100 juta sahaja yang sudah diagihkan.

“Saya akan semak status yang RM350 juta itu,” katanya.

Abang Johari sebelum ini menyatakan kekecewaan kepada kerajaan persekutuan kerana masih belum memulakan kerja menaik taraf sekolah daif di Sarawak, walaupun beliau sudah menjelaskan bayaran pendahuluan sebanyak RM350 juta untuk tujuan itu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum itu memberi jaminan akan melaksanakan projek berkenaan sebaik sahaja mendapat bayaran daripada kerajaan Sarawak.