Naik taraf sekolah daif, Sarawak tunggu kelulusan Kementerian Kewangan

KUCHING: Kementerian Kewangan diminta mempercepatkan kelulusan bayaran pendahuluan sebanyak RM1 bilion yang ditawarkan kerajaan Sarawak kepada kerajaan persekutuan bagi membaiki sekolah-sekolah daif di negeri ini.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata tindakan kementerian kewangan itu menyebabkan usaha menaik taraf sekolah-sekolah daif belum dapat dilaksanakan walaupun dana sudah ada.

“Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) sudah sedia cek RM300 juta untuk tahun ini tetapi malangnya kami belum mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

“Jika tidak, tentu kami sekarang sudah mula memperbaiki sekolah-sekolah daif dan usang terutama di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu-bual semasa mewakili Abang Johari menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Pengurusan Pendidikan Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak Ke-54 di sini, hari ini.

Hadir sama pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak Dr Azhar Ahmad dan Yang Dipertua Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak Abang Othman Abang Masagus.

Menurut Manyin, bayaran sebanyak RM1 bilion itu adalah secara berperingkat di mana untuk pembayaran pertama, kerajaan Sarawak akan menyalurkan RM300 juta, pembayaran kedua RM300 juta lagi dan pembayaran ketiga RM400 juta – RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.

Dana itu juga akan diuruskan dan dipantau oleh sebuah jawatankuasa tiga pihak terdiri daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan dan kerajaan Sarawak.

Suara Sarawak