Nak mandik juak kah pok?

SIMANGGANG: Nak mandik juak kah pok?

Mungkin itu yang bermain di fikiran seorang penduduk di Taman Tiara dekat ini apabila menyedari seekor sang batik berada di atas siling.

Difahamkan semasa kejadian 1:40 petang tadi, pengadu Awangku Omar hendak ke bilik mandi.

Tetapi, geraknya terhenti setelah berhadapan ular sawa sepanjang tiga kaki.

Beliau yang terkejut dengan reptilia itu terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sri Aman.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Sri Aman Kapten Siti Huzaimah Ibrahim, tiga anggota dikerah untuk menangkap ular tersebut.

Dalam tempoh beberapa minit, ular tersebut berjaya di tangkap dengan teknik menjerut.

Huzaimah turut memaklumkan pihaknya dua hari lalu berhadapan situasi hampir sama apabila ular tedung selar masuk ke dalam bilik tidur di sebuah kediaman dekat Jalan Pinang, Kampung Hilir kira-kira 5:26 petang.

“Si anak yang sedang khusyuk menonton televisyen terkejut mendengar jeritan cemas bapanya setelah melihat kelibat ular berwarna hitam masuk ke bilik tidur,” ujarnya.

Setelah berjaya ditangkap, ular tersebut merupakan tedung selar yang berukuran empat kaki.

Justeru, orang ramai yang memerlukan khidmat APM untuk operasi sedemikian boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sri Aman di talian 083-320973.

Suara Sarawak