SELEPAS era pandemik Covid-19, bazar Ramadan yang bermula semalam diberi nyawa, segar dan hidup kembali sebagai syurga pemburu makanan.
Beratus-ratus jenis makanan dan minuman dijual di sini daripada sekecil-kecil air sirap hinggalah makanan yang mewah tetapi pada harga kaki lima.
Di Kuching sahaja, tumpuan teralih ke tiga bazar utama yang menjadi perhatian warganya di Sukma, Semarak dan Satok.
Terletak di kawasan tumpuan, pada hari pertama semalam, ia sudah dibanjiri pemburu makanan pelbagai bangsa.
Lebih 100 jenis kuih-muih tradisional dijual di tiga bazar ini dan pencinta kuih-muih tradisional ini pasti mencari kuih bongkol.
Kuih sinonim muncul ketika bulan Ramadan ini biasanya dijual di Bazar Satok kerana nenek legend yang membuatnya mendiami kawasan ini.
Biasanya seawal jam 4 petang, sudah ada yang menempah, ada penjual yang memborong dan menjualnya lagi dengan keuntungan secubit.
Lima tahun lalu, saya pernah menulis mengenai cerita kuih bongkol nenek ini.
Dan, tahun-tahun selepasnya, dia masih cergas menjualnya di gerai bazar atau menjualnya secara borong kepada penjual kuih.
Semalam, saya berhenti di Bazar Satok sebelum ke pejabat dan terserempak dengan cucunya.
Nampaknya, dia masih cergas untuk membuat bongkol.
Dulu dia risau jika anak cucunya tidak mewarisi pembuatan bongkol.
Katanya, dia risau sekiranya tiada siapa akan mewarisi pembuatannya seterusnya bongkol itu lenyap dan generasi akan datang tidak dapat merasai keenakan kuih tradisional itu.
“Semua orang boleh membuatnya tetapi rasanya pasti tak sama.
Ada yang membuatnya terlebih gula apong, adunannya keras dan balutannya tidak kemas,” katanya.
Di tapak bazar itu semalam, saya juga melihat gerai menjual tepung pelita — satu lagi kuih tradisional yang menjadi pilihan Ramadan.
Kuih yang dibalut dengan daun pandan berbentuk segi empat dan sesetengah pembuatnya membalut menggunakan daun pandan.
Kuih dua lapisan berwarna hijau di bawah dan santan putih di atas turut jadi buruan mereka yang suka pencuci mulut.
Kemudian saya menghampiri anak muda mengemas meja untuk menyediakan jualan makan.
Saya melihat nasi pulut manis.
Ini juga antara makanan pilihan ramai.
Orang Sarawak menggelarnya nasi manis dan nama amnya, wajik pulut.
Semalam, empat hiris diletak di dalam satu bekas berharga RM2.
Di negeri ini, pembuatnya menggunakan gula apong manakala di negeri lain, selalunya menggunakan gula merah atau gula Melaka.
Mata saya terus memandang ke penghujung gerai dari jauh, pelbagai makanan panggang, masakan Timur Tengah, masakan Semenanjung Malaysia terutamanya menu Pantai Timur termasuk air balang, air tebu dan air kelapa.
Justeru, untuk 25 hari akan datang, juadah ini pasti menjadi tumpuan pelbagai bangsa.
Tetapi, kita jangan lupa satu perkara — nikmati juadah, jangan membazir.
Siapa agak-agaknya yang paling membazir?
Sudah pasti suri rumah tangga.
Bukan semua, kebanyakannya suri rumah tangga rambang mata dalam pembelian dan penyediaan makanan.
Saya pun suri rumah dan seawal jam 10.00 pagi — saya jujur akuinya — saya sudah memikir menu apa untuk keluarga berbuka.
Masuk jam 12.00 tengah hari, fikiran kami mula membayangkan anak suka makan ini, suami gemar yang ini — itu hakikatnya.
Jam 1.30 tengah hari, biasanya kami lebih kreatif mengadun bayangan menu termasuklah menggabungnya menjadi satu di atas meja.
Kadangkala berlaku pembaziran tetapi biasanya, kewarasan akal fikiran muncul waktu petang dan berpesan ke hati — jangan rambang mata.
Ini dugaan suri rumah sepanjang 30 hari Ramadan, godaan meletakkan menu di atas meja.
Godaan ini menyakitkan sebenarnya kerana kadangkala kami boleh tertekan bukan kerana tiada makanan, tetapi terlalu banyak pilihan!
Belum lagi membayangkan hidangan panas untuk bersahur.
Melabuh kepala malam hari untuk tidur, fikiran suri rumah diterjah bayangan hangatkan makanan dan tumis sayur untuk anak.
Bukan saya seorang, kawankawan saya pun begitu.
Selagi bergelar emak-emak dan isteri, bayangan kreatif terus menghantui kami.
Dan, jika kami memilih tidak sakit untuk berfikir — beli juadah sudah masak.
Tetapi, timbul masalah lain, hendak beli yang mana satu, sedapkah tidak, bersihkah tidak, anak sukakah tidak — kami bukan gila tetapi ia perkara normal bagi suri rumah.
Realitinya, kerana kami pun manusia biasa, adakalanya keputusan yang kami buat agak membazir apabila banyak makanan lebih.
Kadangkala, bukan selalu.
Seelok-eloknya, ketika kami dalam dunia itu, suami atau anak boleh tegur supaya tidak terlanjur beli.
Susah hendak membuang anxiety bermusim ini kerana ia datang sekali setahun.
Yang penting, jangan membazir dan elak untuk membazir.
Jika membeli juadah dan habis dimakan, itu yang paling elok.
Kita semua ketahuinya, sisa makanan berbuka penyumbang terbesar pembaziran makanan pada bulan Ramadan.
Tiga minggu lepas, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaporkan, lebih 75,000 tan metrik makanan mungkin dibazirkan sepanjang Ramadan tahun ini.
Menurut laporan itu, sisa makanan yang dihasilkan dijangka meningkat daripada kira-kira 17,000 tan metrik sehari pada bulan biasa kepada lebih 19,000 tan metrik sehari sepanjang 30 hari berpuasa.
Oleh itu, ilmu dan kemahiran penting untuk mengurangkan pembaziran.
Usaha ini boleh diperkemas lagi dengan melihat makanan dari sudut nilainya kepada kehidupan rakyat hari ini agar lebih menghargai makanan.
Asasnya mudah — makanan penting, semua orang perlu makan namun berpada-padalah, jangan membazir.
Selamat menunai ibadah puasa.