Nama SMK Dalat harum di peringkat  kebangsaan

MUKAH: Kejayaan paling bermakna buat Pasukan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalat apabila sekali lagi merangkul dua emas dan satu perak pada Pertandingan Intervensi Amalan Bilik Darjah (iabD) Peringkat Kebangsaan bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu, Melaka Khamis lalu.

Terdahulu sekolah tersebut juga berjaya memperoleh anugerah yang sama pada Mai Tah Bainovasi yang diadakan di Wilayah Persekutuan Labuan pada April lalu.

Antara guru yang terlibat dalam pertandingan mewakili SMK Dalat pada kali ini ialah Abdul Gafar Mahdi dan Abdul Rahman Zulkipli untuk panitia Bahasa Melayu, manakala Christina Tang Yi Zhen, Augustine Druis dan Maniza Chandy Anthony mewakili panitia Bahasa Inggeris.

Bagi subjek Pendidikan Moral pula guru yang terlibat ialah Donny Dahlan, Suzana Tinan, Ronald Asen Grunsin dan Mohd Nurzairy Rosli.

Menurut Abdul Gafar Mahdi ketua guru bagi pasukan panitia Bahasa Melayu menjelaskan, dia begitu bersyukur atas pencapaian kali kedua tersebut untuk tahun 2019.

Guru-guru SMK Dalat yang terlibat ialah dari panitia Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral dan Bahasa Melayu. (Sumber : Facebook SMK Dalat rasmi)

“Kami semua guru begitu bersyukur atas pencapaian kami buat kali kedua pada tahun ini dan selepas ini, kita akan merancang untuk menambahbaik inovasi yang sedia ada dengan penggunaan teknologi sesuai dengan konsep pembelajaran pada abad ke-21 kini,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Tambahnya lagi beliau turut berharap agar inovasi yang dihasilkan tersebut dapat digunakan secara meluas di semua sekolah.

“Ini penting bagi membantu guru-guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, sekaligus dapat meningkatkan pencapaian murid-murid dalam penguasaan akademik mereka,” ujarnya.

Manakala Donny Dahlan berkata inovasi dalam pendidikan penting untuk kemenjadian murid dan bukan semata-mata pencapaian akademik yang dicapai.

“Kami sangat bersyukur atas pencapaian pada hari ini dan berharap dapat menjadi inspirasi kepada rakan pendidik yang lain untuk terus berinovasi demi mengangkat martabat pendidikan di Malaysia dan kepada semua guru saya menyeru terus mencari sebab untuk pelajar seronok datang ke sekolah,” ujarnya.

Bagi pertandingan kali kedua disertai oleh guru-guru sekolah tersebut, guru panitia Bahasa Inggeris telah memperkenalkan inovasi dalam bentuk intervensi penulisan karangan Bahasa Inggeris yang dinamakan “The Writing Lok-lok”, manakala dari Panitia Pendidikan Moral telah menghasilkan sebuah inovasi kad permainan yang dikenali sebagai “MyMoral

Seterusnya bagi satu lagi anugerah perak telah dianugerahkan kepada pasukan Panitia Bahasa Melayu dengan inovasi bertajuk “Albumper” yang merupakan sebuah alat bantu mengajar peribahasa dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Guru-guru SMK Dalat mempersembahkan hasil kerja inovasi mereka di Intervensi Amalan Bilik Darjah (iabD) Peringkat Kebangsaan bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu, Melaka semalam. (Sumber : Facebook SMK Dalat rasmi)

Suara Sarawak