Nanas Parit Bugis manis, laris

SARIKEI: Nanas seperti MD2, Maspine, Josapine, N36 dan lain-lain lagi cukup popular kerana kualiti dan rasanya yang manis.

Namun tahukah anda, nanas Parit Bugis juga tidak kurang hebat dek keistimewaannya yang unik dan tersendiri.

Justeru tidak hairanlah jika nanas yang ditanam di Kampung Parit Bugis yang terletak di seberang Sungai Sarikei ini mendapat permintaan tinggi pelanggan.

Penjualnya, Hasimah Abu Bakar, 37, berkata, dia menanam nanas di Sungai Rawang kerana kawasan itu mempunyai tanah yang subur.

Malah katanya, ia merupakan lokasi strategik tanaman nanas yang dilakukan secara tradisi oleh keluarganya sejak turun-temurun.

“Parit Bugis memang cukup terkenal sebagai pengeluar buah nanas dan sayur-sayuran sejak dahulu lagi.

Populariti nanas kawasan ini berjaya menggamit penggemarnya bukan sahaja di Sarikei tetapi juga seluruh Sarawak,” katanya.

Hasimah merupakan generasi ketiga dalam keluarganya yang mengusahakan tanaman nanas sebagai mata pencarian utama.

Proses penanaman nanas itu katanya, agak mudah dan tidak memerlukan air manakala untuk menambah kesuburannya, kita hanya perlu menabur baja.

“Haiwan perosak seperti tikus dan kera adalah musuh utamanya selain kulat.

Bagaimanapun, ia mudah dicegah dengan racun yang sesuai, ” katanya.

Sebahagian benar nanas usahawan muda ini dipasarkan di Pasar Sentral Sarikei selain dijual langsung kepada pelanggannya.

“Saya turun seawal 6.30 pagi di Kampung Bugis dengan menaiki perahu.

Buah nanas ini kemudiannya dipunggah di terminal bot Sarikei sebelum dijual kepada pelanggan.

“Harganya pula bergantung kepada kualiti dan saiz. Setakat ini, sambutan memang sangat menggalakkan. “Walaupun saya terpaksa pulang lebih awal berikutan PKPB, saya tetap menjualnya kerana inilah satu-satunya sumber pendapatan keluarga,” katanya.