Nancy lapor polis FB guna namanya

KUCHING: Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri membuat laporan polis berhubung satu laman Facebook yang menggunakan namanya.

Beliau membuat laporan polis di Balai Polis Gita, di sini bersama dengan Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Katanya laporan polis ke atas laman Facebook ‘Nancy Shukri MP200 Batang Sadong’ itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saya mendapat tahu bahawa terdapat sebuah laman Facebook yang dicipta mengunakan nama saya di bawah ‘Nancy Shukri MP200 Batang Sadong’.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan laman ini kerana ia bukan diselia oleh saya atau mana-mana pegawai di bawah saya,” katanya menerusi catatan Facebooknya, hari ini.

Nancy turut menggesa pemilik laman berkenaan untuk memadamkannya kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat khususnya rakyat di Parlimen Batang Sadong.

Beliau menegaskan bahawa laman Facebook rasminya hanyalah di bawah nama Nancy Shukri dan Page Facebook Hajah Nancy Haji Shukri sahaja.

Nancy yang dihubungi kemudian memberitahu bahawa laman Facebook palsu itu sudah ditutup.