SEPANJANG menjual nasi lemak RM1 di Permyjaya, Miri, Awangku Haziq Asyraf ,29, dan isterinya Nur Ain Fitria, 21, tidak menyangka mendapat perhatian ramai pihak.
Menurut Haziq, ibunya turut menjual makanan lain iaitu nasi lemak, nasi katok, ayam dan sebagainya.
Menariknya baru sahaja dua minggu, mereka mendapat perhatian beberapa pengguna laman sosial makanan yang cukup dikenali seperti Borneo Foodie dan salah seorang ialah Sufri Channel di Youtube.
“Terima kasih kepada mereka menyebarluaskan usaha kami ini, walaupun baru beberapa minggu berjual, dengan harapan, orang ramai dapat tahu usaha yang kami lakukan ini,” katanya kepada Suara Sarawak.
Seperti kebiasaan Haziq turut berkongsi perniagaan melalui Facebooknya sendiri dan ia tetap mendapat perhatian umum melalui perkongsian video mahupun gambar.
Haziq menaruh harapan tinggi agar dapat menjalankan perniagaan tersebut secara konsisten dan dijauhkan dari benda yang tidak diingini.
“Kita sentiasa mendapat sambutan, baik dari Brunei dan Miri, tambahan dengan pembukaan sempadan, mereka ada yang buat panggilan mahu sedekahkan 400 bungkus nasi lemak, kerana ada kekangan lokasi untuk tempoh ini saya terpaksa tolak.
“Usaha kami turut mendapat perhatian anak jati Sarawak yang menetap di United Kingdom.
“Kebetulan dia mahu pulang ke Miri, kampung halamannya bersama-sama keluarga. Dia mahu bersedekah di masjid dengan nasi lemak kami apabila pulang ke Miri.
“Alhamdullilah saya dapat bantunya, dan dia berasa gembira, setiap hari ada sahaja orang ramai yang mahu melakukan sedekah, tanpa henti.
“Keadaan ini menjadi sangat menarik buat saya sebagai peniaga, sebab bagi pelanggan mereka akan gembira apabila ada orang yang tolong bayar makanan yang mereka belikan,” ujar anak kedua daripada lima beradik itu.
Konsep bersedekah
Jika diikutkan jelas Haziq saat indah baginya bergelar peniaga sepanjang ialah apabila dapat melihat pelbagai ragam pelanggan pada awal pagi.
“Lebar senyuman manis mereka pada pagi hari, sebab kita boleh lihat dari wajah mereka.
Kadangkala ada pelanggan yang datang walaupun untuk bersedekah, mereka memang seikhlas hati beli nasi lemak kami untuk diberikan kepada pelanggan lain.
“Saat paling menarik ialah apabila pelajar sekolah datang, bukan saya mahu katakan makanan kantin tidak bagus tetapi kita tahu semua orang ada selera masing-masing.
Saya juga memahami tidak semua orang mampu dengan keadaan ekonomi sekarang.
“Bagi saya nasi lemak RM1 yang berkualiti kami hasilkan ini mungkin dekat di hati masyarakat.
Apabila pelajar sekolah berlari datang ke gerai kami, mereka akan datang bersama-sama adik beradik dan rakan-rakan.
Saya memang utamakan budak sekolah, tambahan apabila mereka dapat nasi lemak percuma.
“Rindok hati” melihat mereka gembira dapat nasi lemak percuma ini,” katanya.
Berkongsi lanjut jelas Haziq walaupun tidak dapat membantu dalam jumlah yang banyak, baginya menolong dalam jumlah sedikit sudah cukup bermakna.
“Walaupun kita tidak dapat tolong banyak, tolong sedikit dah bersyukur lebih bermakna, seperti nasi lemak RM1 ini sudah boleh mengisi perut yang lapar dan buat orang ramai lebih bertenaga pada awal pagi.
“Kita juga tahu dengan duit RM1 ini pasti ada sebahagian pihak yang pandang remeh nilainya.
Sesungguhnya ia mempunyai nilai yang sangat berharga, sekarang tidak dinafikan ramai orang mungkin tidak lihat RM1 ini.
“Dengan RM1 kenapa tidak dengan nilai duit ini kita boleh gembirakan orang dengan nasi lemak RM1 ini,” jelasnya.
Malah katanya jika berkelapangan dia biasanya akan menyiapkan lebih 400 atau 600 bungkus untuk disedekahkan ke masjid, terutama pada Jumaat.
Haziq turut berharap dengan kepada orang ramai agar boleh mengambil peluang untuk melakukan amalan sedekah dan berharap agar orang ramai turut mendoakan kesihatan keluarga dan dirinya.
“Jika turun atau datang ke Miri bolehlah singgah ke gerai jualan kami, rindok hati apabila dapat lihat ramai orang berbaris dan berkongsi jualan di media sosial.
“Saya juga harap mungkin di bahagian lain di Sarawak ada orang yang boleh buat perkara sama dengan niat betul untuk membantu orang, sebab usaha ini sangat murni untuk masyarakat,” katanya.
Melihat kepada situasi ini juga semua pihak perlu menyedari bahawa pentingnya peranan media sosial sebagai platform terbaik untuk mengetengahkan perniagaan mereka.
Baik untuk tujuan pemasaran terutamanya produk makanan seperti nasi lemak RM1 yang dekat di hati rakyat
Haziq dilihat berjaya menguasai media sosial dan menyebarkan berita gembira serta kebaikan untuk semua.
Percayalah dalam setiap kebaikan, pasti ada balasan yang setimpal akan diterima suatu hari nanti.
