SEBUT sahaja nasi lemak, makanan ikon ini begitu sinonim dengan sarapan rakyat Malaysia.
Ia boleh dianggap sebagai menu wajib bagi masyarakat Malaysia kerana kandungannya yang lengkap untuk mengalas perut.
Kandungannya, dengan gabungan telur direbus atau digoreng, serta ikan bilis dan kacang tanah yang digoreng rangup dan beberapa potongan timun.
Hakikatnya sambal yang enak menjadi kekuatan utama hidangan ini.
Pada era 90-an penulis mengimbau kembali zaman kanak-kanak, bahawa nasi lemak biasa dijual dalam bungkusan plastik lut sinar mahupun bungkusan kertas dengan harga serendah RM0.20, dan RM0.50 dan paling mahal RM1 mengikut kuantiti.
Namun kini, tiada lagi harga RM1.00, RM0.50 mahupun RM0.20. Setelah sekian lama, zaman berubah dan keadaan ekonomi melibatkan harga barangan turut melonjak memberi kesan kepada makanan ruji masyarakat Malaysia.
Perubahan zaman inilah menyebabkan kita sebagai pengguna perlu tahu keutamaan dan keperluan ketika berbelanja setiap hari.
Ia ditambah lagi dengan cabaran Covid-19 serta konflik Rusia-Ukraine yang memberi kesan terhadap rantaian makanan dunia apabila berlaku sekatan pergerakan.
Ia sekali gus menyebabkan harga barangan turut meningkat dan segala kos rantaian makanan turut meningkat.
Nasi lemak RM1, Inspirasi Tiktok
Namun apakah yang anda lakukan jika bertemu peniaga yang menjual nasi lemak dengan harga RM1 untuk sebungkus?
Pastinya anda ingin tahu, dan mungkin akan beratur panjang bersama-sama pelanggan lain untuk membeli kerana harganya yang murah dan jarang untuk kita temui di Malaysia.
Situasi itulah yang berlaku di tepi jalan kawasan padang bola Desa Indah Permyjaya, Jalan Dato Permaisuri 3D, Miri apabila seorang anak muda dikenali sebagai Awangku Haziq Asyraf, 29, baru beberapa minggu menjual nasi lemak RM1 yang diusahakannya bersama-sama isteri Nur Ain Fitria, 21, menjadi tumpuan ramai.
Ketika masyarakat dihimpit bebanan peningkatan kos sara hidup berikutan kenaikan harga barang, Haziq dan isterinya satu-satunya peniaga yang berani untuk menjual nasi lemak dengan harga RM1.
Konsep bersedekah sambil berniaga ini diamalkan setiap hari kerana dengan nasi lemak RM1 itulah Haziq berkongsi, agar ramai masyarakat mengambil peluang untuk bersedekah.
Haziq berkongsi kisahnya bagaimana dia dan isteri mempunyai idea untuk mengusahakan perniagaan yang diusahakan dari rumah dan secara kecil-kecilan.
“Perniagaan nasi lemak kami bermula kerana isteri saya mengidam mahu makan nasi lemak maklumlah kini dia juga berbadan dua.
“Tambahan pula dengan kepesatan media sosial dia pun “scroll” di aplikasi TikTok mencari video jualan nasi lemak dan terjumpa satu akaun TikTok yang menjual nasi lemak RM1.
“Isteri saya pun terpikat melihat jualan peniaga tersebut kerana dia berniaga sambil bersedekah, sehingga jualannya laris setiap hari. Sejak itu dia pun mengajak saya untuk mengikuti cara peniaga itu berjual,” katanya kepada Suara Sarawak.
“Untuk peringkat awal saya memang tidak fikirkan tentang modal, kami cuba buat sahaja dan untuk hari pertama itu kami mulakan dengan menjual 50 bungkus.
“Rakan kepada isteri saya mahu bersedekah RM50 dengan beri 50 pelanggan awal yang membeli nasi lemak RM1,” jelas Haziq menjalan perniagaan secara sepenuh masa.
Buat baik kepada masyarakat
Jelasnya, jualan harian semakin ditambah untuk hari kedua dengan 150 bungkus dan untuk hari ketiga dan seterusnya hingga 400 bungkus.
“Untuk rekod, pernah dalam satu hari dalam tempoh 10 minit sahaja 400 bungkus nasi lemak RM1 kami terjual habis.
“Saya tahu sebab ada ramai yang kongsikan jualan saya ini di media sosial Facebook dan kami juga promosikan di media sosial sehingga ramai yang berkongsi hantaran kami sehingga kami mendapat lebih 400 perkongsian di media sosial sahaja dan 400 tanda suka di Facebook pada satu masa,” ujarnya.
Berkongsi lanjut katanya konsep sedekah yang diamalkannya dalam berniaga itu merupakan pahala dan amalan yang amat menyeronokkan untuk dilakukan.
“Kita mahu tolong orang, kalau kita tolong orang, Tuhan akan tolong kita balik dengan cara mudahkan urusan kita.
“Setiap hari akan ada orang mahu sedekah nasi lemak, kami terima duit mereka dan mereka akan sedekahkan kepada pelanggan bergantung dengan niat mereka.
“Meskipun, masih ada sedekah daripada pelanggan yang belum kami langsaikan kami akan langsaikan.
Kita biasa tolong mereka sedekah ke rumah anak yatim dan masjid-terutamanya pada Ahad,” katanya.