Nasib akhbar cetak

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

SEPERTI yang dijangka, akhbar cetak sekarang ini semakin kurang mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat di serata dunia.

Malah berdasarkan jumlah edaran, kejatuhannya begitu menjunam dan cukup menakutkan penggiat industri terbabit.

Oleh itu, adalah tidak masuk akal sama sekali jika ada organisasi media yang mendedahkan bahawa edaran akhbar cetak mereka bertambah sekarang ini.

Bagaimana agaknya kedudukan akhbar cetak pada lima tahun akan datang?

Atau mungkinkah ia akan beroperasi sepenuhnya secara dalam talian?

Maknanya tiada lagi edisi cetakan.

Kurangnya minat masyarakat terhadap akhbar cetak bukan kerana isi kandungan yang kurang menarik, terlalu berpihak kepada pemilik/kerajaan atau reka letak yang berterabur, tetapi salah satu puncanya ialah limpahan maklumat di alam maya yang muncul setiap saat, menyebabkan media tradisional ini dilupakan, kecuali golongan tertentu atau mereka yang terlibat secara langsung dalam industri ini.

Bukan sahaja akhbar, majalah, buku dan televisyen turut mendapat tempiasnya.

Mungkin perlu ada kajian terperinci tentang isu tersebut, terutama dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini… apakah puncanya, dan situasi sebenar akhbar cetak sekarang ini, adakah ia benar-benar kritikal, atau masih ada sedikit cahaya di hujung terowong?

Baru-baru ini saya meninjau beberapa tempat jualan akhbar cetak di sekitar Kuching dan Mukah.

Tiada lagi kelibat akhbar nasional, yang suatu ketika, turut menguasai pasaran di Sarawak.

Kini hanya akhbar tempatan, itu pun kekal sehingga petang, malah sehingga malam dan keesokannya. Maknanya tiada pembeli.

Kalau ada pun, jumlahnya amat terbatas.

Selepas mengisi minyak motosikal di Kuching baru-baru ini saya membelek salah sebuah akhbar tempatan… lalu seorang lelaki berusia pertengahan 50-an bertanya kepada saya sambil ketawa.

“Adakah anda masih membeli akhbar?… jawapan saya, sekali-sekala.

Dia pun ketawa sambil berkata… zaman sekarang mana lagi ada orang nak baca akhbar.”

Katanya lagi; “Kali terakhir saya beli akhbar tujuh tahun lepas.

Jika harganya sekarang 10 sen pun saya tidak akan beli.

Buat apa nak beli jika tidak dibaca, atau sekadar melihat gambar.

Sudah terlalu banyak maklumat di dalam telefon bimbit… tak kuasa lagi saya nak baca akhbar,” ujarnya.

Saya pula hanya beli akhbar sekali-sekala ketika ada isu besar atau menarik seperti Piala Dunia, peperangan atau pilihan raya… itu pun bukan kerana nak baca sangat kerana saya juga ada melanggan secara maya.

Saya beli kerana mahu melihat corak reka letak akhbar nasional ketika peristiwa besar.

Yang pasti, ia berkaitan dengan kerjaya saya.

Oleh itu, saya bersetuju dengan kenyataan lelaki berusia pertengahan 50-an di stesen minyak… itulah hakikatnya.

Pada era penghujung 80- an hingga pertengahan 90-an ayah saya pernah melanggan akhbar nasional, Berita Harian dan Utusan Malaysia hampir 10 tahun.

Ketika itu, hampir semua halaman dibaca, lebih-lebih lagi ketika acara mega, atau temasya bola sepak Piala Dunia.

Rumah saya kerap dikunjungi rakanrakan untuk berkongsi akhbar.

Akhbar lama tidak dibuang, tetapi untuk pelapik meja makan, atau pembungkus buah mangga dan jambu air di belakang rumah.

Ada juga diberikan kepada jiran atau penduduk kampung yang memerlukan. Yang pasti trend akhbar cetak di pasaran akan terus menjunam dari semasa ke semasa.

Industri akhbar bakal beroperasi sepenuhnya secara maya, sekali gus mengubah landskap operasi, tiada lagi tenaga kerja bahagian reka letak, jika ada pun, hanya segelintir. Sudah pasti, tiada lagi pekerja di bahagian cetakan di kilang.

Hakikatnya kemunculan pelbagai maklumat di media sosial sebagai antara punca utama.

Telefon pintar misalnya, merupakan alat utama penyaluran maklumat yang menguasai sekitar 98.7 peratus rakyat Malaysia, berbanding komputer riba 37.9 peratus dan komputer peribadi, hanya 16.2 peratus.

Selain Facebook, Twitter juga merupakan platform komunikasi penting terutama kepada golongan muda.

WhatsApp pula menduduki tangga teratas dengan 98.7 peratus penguasaan sebagai aplikasi komunikasi utama, diikuti oleh Facebook Messenger sebanyak 40.1 peratus dan Telegram 40.1 peratus.

Kemunculan ‘Bips’ dan ‘Tik-tok’ juga menjadi wadah komunikasi popular.

Seiring dengan kemajuan teknologi terkini, tidak dinafikan media sosial mengambil alih peranan media tradisional sebagai penyampai maklumat dalam kalangan setiap lapisan rakyat.

Akhbar The Independent UK menamatkan versi cetak pada 2 Mac 2016,serta menamatkan khidmat 100 pekerja.

Begitu juga Newsweek yang kali terakhir dicetak pada 2012, selepas lahir pada 1933.

USA Today pula mengurangkan kakitangan Dengan jumlah terbesar pada 2014, melibatkan 84 staf, atau pengurangan 50 peratus di dalam bilik berita.

New York Times, turut mengurangkan saiz staf sejak 2008 lagi, yang membolekan mereka menjimatkan kos sehingga AS$42 juta setahun.

Manakala akhbar tertua di Malaysia, Malay Mail menerbitkan edisi terakhirnya pada 1 Disember 2018, setelah 122 tahun beroperasi.

Sejak 2 Disember 2018, ia hanya boleh didapati di alam maya, dan tiada lagi bau kertas awal pagi bersama aroma secangkir kopi panas.

Begitu juga nasib akhbar nasional, Utusan Malaysia yang terpaksa menamatkan operasi pada 2020 setelah berusia lebih 80 tahun.

Namun kini ia kembali beroperasi dengan wajah baharu, dalam bentuk tabloid, berbanding dahulu, broadsheet atau bersaiz besar.

Kebergantungan kepada pengiklanan untuk meneruskan kelangsungan hidup, dan ledakan akses maklumat secara digital menyebabkan kurangnya fungsi akhbar cetak sebagai penyalur berita.

Oleh kerana maklumat di alam maya menjadi sumber utama generasi sekarang untuk mendapatkan maklumat dan berita, maka media tradisional harus merentas sempadan kebiasaan, dalam menampilkan berita, rencana untuk menarik perhatian pembaca, asalkan tidak tergelincir daripada etika. Itu pun hanya untuk bertahan, memanjangkan sedikit hayat.

Yang pasti, apakah maknanya kemunculan pelbagai maklumat di media sosial?

Adakah ia sebagai petanda akhir zaman?

Ibnu Mas’ud menjelaskan, bahwa Rasulullah SAW bersabda; “Sesungguhnya, petanda kiamat nanti (akhir zaman), antaranya kemunculan pena (alat tulis),” (HR. Ahmad. Syaikh Al-Arna’uth menilai riwayat ini hasan).

Maksud kemunculan pena (alat tulis) adalah penyebaran maklumat, informasi atau tulisan secara meluas tanpa batas, daripada alam nyata ke alam maya, atau sebaliknya, kemudiannya tersebar ke segenap penjuru dunia.

Realitinya, apa yang kita nikmati sepanjang lebih separuh abad merdeka, juga atas sumbangan wira tidak didendang ini yang kebanyakannya memulakan kerjaya di akhbar cetak.

Yang pasti, dunia kewartawanan akan terus mekar dan mencabar, seiring peredaran masa, walaupun suatu hari nanti lenyapnya edisi akhbar cetak.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Si duri tajam

DURIAN bukan sekadar pemegang takhta raja buah, tetapi juga raja

Bersatu hati

YANG di-Pertuan Agong AlSultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah cukup

Masih ada peluang

HANYA satu kemenangan dan empat seri dalam 20 perlawanan, menggambarkan

Penggali kubur

SEBUT sahaja kubur, ada yang tidak senang duduk, dan ramai

Lain-lain

Si duri tajam

DURIAN bukan sekadar pemegang takhta raja buah, tetapi juga raja