Nasib balu mendiang Renjer Tinggi dibela

SRI AMAN: Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) Cawangan Sarawak, Mejar Pahot Joll telah menjejaki balu seorang veteran di sini, iaitu Linjong Edward balu kepada mendiang Renjer Tinggi Chakom di Rumah Karin, Tabut Skrang.

Penjejakan itu dibuat setelah menerima maklumat daripada ahli JHEV ATM Cawangan Sarawak, yang memaklumkan bahawa wanita terbabit hidup dalam keadaan daif dan sebatang kara.

Dia hanya bergantung kepada Pencen Terbitan suaminya sebanyak RM243 sebulan serta mengharap belas ihsan penduduk kampung.

Suaminya, mendiang Renjer Tinggi yang merupakan seorang Tentera Sarawak Renjer telah terkorban semasa menentang pengganas komunis pada 22 November 1970 di Sarawak.

Mendiang Renjer Tinggi Chakom telah terkorban semasa menentang pengganas komunis pada 22 November 1970 di Sarawak.

Renjer Tinggi bersama tiga lagi anggota Sarawak Renjer telah menjejaki komunis yang dilaporkan mandi di tepi Sungai Rajang oleh orang kampung.

Bagaimanapun, mereka telah diserang hendak dari arah kiri dan kanan bukit sehingga mengorbankan semua mereka.

Mendiang meninggalkan seorang balu dan seorang anak berusia 11 tahun ketika itu.

Isteri mendiang, Linjong sebelum ini bergantung harap kepada anaknya namun anaknya itu telah meninggal dunia pada usia 52 tahun dan cucunya pula telah balik mengikut ibunya meninggalkannya hidup seorang diri dan sebatang kara.

Sempena lawatannya itu, Pahot telah menyerahkan bantuan barang makanan dan sumbangan dari Tabung Jasamu serta membuat dokumentasi Bantuan Sara Hidup bagi menambah pendapatan dan meringankan beban wanita itu.

Suara Sarawak