
SEJAK beberapa hari yang lepas , hujan lebat turun tidak henti dan air mula naik di beberapa kawasan di Sarawak yang meresah penduduk, terutamanya di kawasan tanah rendah dan lokasi yang berpotensi berlaku tanah susur.
Berdasarkan pemerhatian di laman Facebook, ada dalam kalangan pengguna memuat naik gambar dan berkongsi keadaan di kawasan mereka.
Malah ada dalam kalangan mereka tidak dapat tidur kerana khuatir rumah mereka dinaiki air selain menyelamat dan mengalihkan barangan berharga mereka di tempat yang selamat.
Ketika analisis ini ditulis, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) pada jam 9.00 pagi kelmarin mengeluarkan amaran hujan berterusan terutamanya di negeri ini sehingga 24 Disember.
Amaran imi berkaitan hujan sangat lebat berterusan di Kuching, Serian Samarahan, Sri Aman dan Betong.
Selain itu, Met Malaysia turut mengeluarkan amaran pada tahap buruk di Sarikei dan Mukah membabitkan Tanjung Manis dan Daro.
Sementara, pada tahap waspada dijangka berlaku di Sibu, Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang.
Malah, beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) juga dibuka bagi menempatkan mangsa banjir iaitu di Kuching membabitkan mangsa dari Kampung Bedaun dan di Bau membabitkan mangsa dari Kampung Opar dan Kampung Jugan.
Kawasan tumpuan banjir
Beberapa hari lepas, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Datuk Khirudin Drahman turut berkongsi lokasi tumpuan berlaku banjir di Sarawak.
Katanya, sebanyak 286 kawasan di Sarawak dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan berlaku banjir membabitkan 87 kawasan di Sibu diikuti Miri dengan 52 kawasan tumpuan banjir.
Selain itu, 47 kawasan di Kuching dikesan sebagai kawasan tumpuan banjir sementara 43 kawasan di Samarahan. Manakala, 31 kawasan dikesan di Sri Aman, 10 kawasan di Bintulu dan 20 kawasan di Limbang.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi panduan keselamatan menghadapi banjir dalam kumpulan WhatsApp bersama media untuk diuar-uarkan kepada orang ramai.
Panduan itu menasihatkan orang ramai agar menyediakan kit keselamatan, dapatkan maklumat berkaitan cuaca di radio, televisyen dan media sosial, mewujudkan pelan komunikasi, menyediakan beg kecemasan, menyelamatkan dokumen penting dan berharga, mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, menyimpan nombor perhubungan penting/ kecemasan dan peka terhadap amaran.
Panduan tersebut turut menasihatkan untuk mematikan suis utama elektrik di rumah, berpindah ke tempat/kawasan yang tinggi, jangan berjalan melalui air yang deras, makan makanan berbungkus, jangan bermain banjir, jangan dekati tiang elektrik dan substesen elektrik yang ditenggelami banjir.
Orang ramai diingatkan untuk memastikan diri dan keluarga berada di tempat yang selamat atau berpindah ke PPS yang disediakan dan menghubungi pihak berkuasa.
Kekal selamat
Selepas banjir, orang ramai dinasihatkan untuk memeriksa keadaan struktur rumah jika ada kerosakan yang mungkin merekah dan jatuh, periksa sebelum menghidupkan semula bekalan elektrik rumah anda, sila pastikan periksa pendawaian elektrik jika selamat digunakan.
Dinasihatkan agar jangan menggunakan peranti elektrik yang telah ditengelami air dan elakkan makan makanan yang terdedah dan tidak dimasak serta periksa jika ada tanda-tanda kehadiran binatang berbisa dan merbahaya.
Justeru, dalam keadaan cuaca yang membimbangkan dan tidak menentu ini, orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga.
Diingatkan juga tidak menggunakan keadaan semasa ini dalam menyalurkan maklumat tidak tepat sehingga mengelirukan orang ramai kerana ada agenda tersendiri sehingga menyusahkan orang lain.
Oleh itu, wajar orang ramai mendoakan keadaan kembali reda pada masa terdekat dan berdoa agar tiada musibah buruk yang berlaku.