Neelofa sudah lali gosip cinta, kahwin

PENGACARA dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih dikenali dengan Neelofa mengakui sudah lali ditanya dengan soalan cinta dan perkahwinan sejak dia berada 10 tahun dalam industri seni.

Oleh itu ketika ditanya berkenaan gosip percintaannya dengan pendakwah bebas PU (Pencetus Ummah) Riz, pemilik jenama Nealofar itu tidak melatah dan hanya tertawa.

Katanya, selagi tiada kenyataan rasmi daripadanya maka segala cerita yang datang hanya khabar angin.

“Saya dah lali dengan gosip cinta, soalan bila nak kahwin. Saya dan PU Riz sudah beberapa kali bekerjasama, lebih-lebih lagi selepas insiden Zouk dahulu.

Cuma sebelum ini projek kami tidak melibatkan media. “Saya memilih dia untuk bekerjasama dalam Pertubuhan Kasih Neelofa yang ditubuhkan sejak Jun lalu kerana dia berperanan dalam urusan dengan media atau jurucakap.

“Bagi saya, biarlah orang yang lebih ada pengetahuan dalam bidang seperti ini bercakap,” jelasnya.

Tambah personaliti berusia 31 tahun itu, dia meletakkan sasaran untuk mendirikan rumah tangga dalam tempoh tiga tahun lagi dan mahu memberi komitmen dan perniagaan terlebih dahulu.

Suara Sarawak