KUCHING: Sekurang-kurangnya 20 negara dari Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dijangka menyertai Forum Perniagaan Muslim Global 2022.
Forum anjuran bersama antara kerajaan Sarawak dan Kingsley Advisory & Strategic Initiatives Sdn Bhd itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 19 dan 20 Oktober ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia dijangka menarik lebih 1,300 peserta dari seluruh wilayah, yang akan hadir secara fizikal atau maya bagi meneroka dan mewujudkan pakatan strategik bersama negeri ini.

“Forum itu bertujuan untuk mempromosikan dialog dan wacana mengenai Ekonomi Islam Global sambil menggalakkan kerjasama pelbagai pihak antara kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil.
“Ketua negara, pemimpin dan tokoh perniagaan utama dari negara-negara Islam dijemput untuk berkongsi pandangan mereka mengenai ekonomi Islam global dalam Era Pasca Pandemik,” katanya dalam sidang media forum itu di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Dengan tema ‘Kebangkitan Ekonomi Islam Global: Memulih Dalam Era Pasca Pandemik’, Awang Tengah berkata forum ini bakal mewujudkan kerjasama dan perkongsian yang lebih kukuh di kalangan masyarakat Islam secara lebih meluas bagi menumpukan semula peranan mereka dalam menerima pakai pembangunan mampan dan hijau.
“Sorotan utama forum itu termasuk pelancaran Majlis Pemimpin Perniagaan Muslim Global, yang bertujuan untuk mempromosi dan mengukuhkan ekonomi dengan bekerjasama dengan kerajaan untuk membuka kunci pelaburan dan mempromosikan ekonomi halal.
“Majlis anugerah untuk kecemerlangan perniagaan dan pencapaian seumur hidup juga akan diadakan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan pemimpin perniagaan kepada kemakmuran masyarakat global,” katanya.
Selain itu, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) mendedahkan bahawa forum itu juga akan mengetengahkan peluang perniagaan dan pelaburan di Sarawak, khususnya dalam tenaga boleh diperbaharui, ekonomi baharu seperti hidrogen, minyak dan gas.
“Justeru, ia akan membuka peluang kepada pelabur untuk meneroka potensi perniagaan dan pelaburan di Sarawak.
“Selain itu, perusahaan kecil dan sederhana tempatan digalakkan untuk mengambil bahagian dalam forum ini, yang akan menghubungkan mereka dengan potensi pasaran Halal di seluruh dunia,” ujarnya.
Untuk rekod, jawatankuasa induk forum itu diketuai oleh Awang Tengah manakala Jawatankuasa Kerja forum diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mohamad Abu Bakar Marzuki.